KUALA LUMPUR, 2 DIS – Jabatan Imigresen Malaysia telah memperluaskan kemudahan sistem pagar automatik (autogate) kepada 53 lagi negara baharu di pintu masuk negara yang memiliki kemudahan berkenaan setakat ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata ia meliputi 26 negara Kesatuan Eropah (EU), 17 negara Eropah di luar EU, enam negara Arab dan empat negara lain iaitu Kanada, Hong Kong, China dan Taiwan.
“Jumlah negara yang diberikan kemudahan autogate ini ialah 63 buah negara keseluruhannya dan akan meningkatkan bilangan pelawat asing dari negara-negara ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu langkah yang sedang diambil kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan dan bilangan mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk ke tanah air (termasuk lapangan terbang dan pelabuhan) bagi memudahkan urusan kemasukan pelancong asing.
Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata inisiatif itu membolehkan pemeriksaan di pintu masuk lebih cepat dan dipermudahkan tanpa kompromi dalam elemen keselamatan, sekali gus untuk menangani kesesakan di pintu masuk negara.
Shamsul Anuar berkata setakat ini terdapat 1,568 unit mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk Malaysia. – Bernama