Friday, January 3, 2025
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    6 beranak berdepan detik cemas rumah terbakar

    SEREMBAN, 31 DIS – Enam beranak berdepan detik cemas apabila rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan awal pagi tadi.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Mohd Kamal Mohd Timar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian terbabit pada jam 2:21 pagi.

    Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, api sedang marak dan ahli keluarga berkenaan telah keluar rumah untuk menyelamatkan diri.

    “Kesemua enam beranak berusia antara 53 hingga sembilan tahun itu selamat, tiada sebarang kecederaan berlaku. Bagaimanapun, rumah separa kekal bersaiz 40×70 kaki persegi itu hangus terbakar dengan kemusnahan lebih 80 peratus termasuk sebuah kereta.

    “Seramai 22 anggota termasuk pegawai terlibat dalam kerja-kerja penyelamatan. Api berjaya dikawal pada pukul 2:47 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pukul 4.20 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini dan menambah punca kebakaran dan kerugian masih disiasat. 

    Sementara itu, mangsa, Noor Aiza Baharuddin, 53, yang merupakan bekas imam masjid berkata semasa kejadian isteri dan empat anaknya yang berusia sembilan hingga 15 tahun sudah tidur. 

    “Saya baru sahaja hendak tidur tetapi dengar jiran jerit api, saya tengok luar rumah, api mulai marak dekat garaj kereta. Saya segera kejutkan isteri dan anak-anak sebelum mengeluarkan kereta Toyota Avanza. 

    “Sebuah lagi kereta jenis Toyota Vios tidak sempat diselamatkan termasuk dua motosikal jenis Honda EX5 dan Wave kerana api terlalu marak,” katanya yang kini tinggal sementara di kediaman abangnya di kampung sama. – Bernama

    Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda