HANOI, 13 DIS – Enam ekor ikan keli gergasi Mekong spesies amat terancam – salah satu spesies ikan air tawar terbesar dan paling jarang ditemui di dunia, berjaya ditangkap dan dilepaskan baru-baru ini di Kemboja, memberi harapan baharu kepada kelangsungan hidup spesies berkenaan.
Spesies itu boleh membesar sehingga 3 meter panjang dan mencapai berat sehingga 300 kilogram, atau seberat sebuah piano besar.
Kini, ia hanya dapat ditemui di Sungai Mekong di Asia Tenggara, walaupun dahulunya menghuni sepanjang 4,900 kilometer sungai tersebut, dari muara di Vietnam hingga ke utara di wilayah Yunnan, China.
Populasi spesies berkenaan telah merosot sebanyak 80 peratus dalam beberapa dekad kebelakangan ini akibat tekanan seperti penangkapan berlebihan, pembinaan empangan yang menghalang laluan migrasi ikan untuk bertelur dan gangguan lain.
Kebanyakan daripada jutaan penduduk yang bergantung kepada Sungai Mekong untuk mata pencarian mereka tidak pernah melihat spesies ikan itu.
Penemuan enam ekor spesies ikan itu dalam masa lima hari merupakan sesuatu yang jarang berlaku.
Dua ekor pertama ditemui di Sungai Tonle Sap, anak sungai Mekong yang tidak jauh dari ibu negara Kemboja, Phnom Penh. Kedua-duanya ditanda dengan tag pengenalan dan dilepaskan semula.
Pada Selasa, nelayan menangkap empat ekor lagi ikan keli gergasi, termasuk dua ekor yang masing-masing berukuran lebih daripada 2 meter panjang dan seberat 120 kilogram serta 131 kilogram.
Kesemua ikan tersebut dipercayai sedang bermigrasi dari habitat dataran banjir berhampiran Tasik Tonle Sap di Kemboja ke utara sepanjang Sungai Mekong, kemungkinan menuju ke kawasan pembiakan di utara Kemboja, Laos atau Thailand. – AP