Oleh Nurdiyanah R. –
BELAIT, 18 DIS – Sebagai menyokong Kempen Hari Tindakan di seluruh negara, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), hari ini, telah menganjurkan acara Play and Learn bersama 66 orang pelajar dari sekolah-sekolah di Daerah Belait yang terpilih dan Pusat Ehsan.
Hadir pada majlis yang berlangsung di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) itu ialah Pengarah Urusan BSP, Johan Atema dan Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.
Dalam ucapan alu-aluannya, Johan Atema berkongsi Hari Tindakan adalah lebih daripada satu tindakan amal, ia mengenai mewujudkan hubungan yang menggembirakan dan bermakna.
“Dengan menghayati minda pelajar, kami bukan sahaja mengajar pelajaran yang berharga tetapi juga menunjukkan kepentingan rasa ingin tahu dan pertumbuhan dalam setiap pengalaman.
“Melalui permainan dan aktiviti yang menarik, kami memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk melihat pendidikan sebagai perjalanan yang menarik dan laluan ke masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.
Pagi yang penuh keceriaan itu diketuai oleh golongan suka-relawan terdiri daripada kakitangan BSP daripada program BSPCares, yang menganjurkan lapan aktiviti pendidikan seperti permainan menyimpan wang, permainan kitar semula serta sesi Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) oleh Makmal Tenaga Seria (SEL). Aktiviti-aktiviti berkenaan diharapkan untuk memberikan para pelajar dengan pengalaman yang bermakna melalui sesi pendidikan dan interaktif sepanjang musim cuti ini.
BSPCares ialah program kesukarelawanan yang pada mulanya dilancarkan sebagai tindak balas kepada pandemik COVID-19 di Negara Brunei Darussalam untuk membolehkan kakitangan BSP memberikan sokongan dan menyumbang ke arah bantuan COVID-19 di negara ini. Aktiviti-aktiviti ini termasuk sokongan dan bantuan untuk komuniti yang menghadapi cabaran dari segi sosio-ekonomi.
Pada tahun 2021, BSPCares diteruskan sebagai program sukarelawan seluruh syarikat yang termasuk sebagai platform untuk kakitangan BSP menunjukkan keprihatinan dan sumbangan masyarakat. Sejak 2019, platform ini telah merekodkan lebih dari 48,000 jam kerja kesukarelawanan.