Friday, September 20, 2024
35.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    70 rakyat Palestin tunggu bantuan terbunuh di Gaza

    RAFAH, 29 FEB – Kira-kira 70 orang terbunuh dalam serangan awal hari ini ke atas sekumpulan penduduk Palestin yang menunggu bantuan kemanusiaan di Bandar Gaza, menjadikan jumlah terkorban sejak permulaan perang Israel-Hamas kepada lebih 30,000, kata Kementerian Kesihatan Gaza.

    Bandar Gaza dan seluruh Gaza utara adalah sasaran pertama serangan udara, laut dan darat Israel yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober. Kawasan itu telah mengalami kemusnahan teruk dan sebahagian besarnya telah terasing dari seluruh wilayah selama berbulan-bulan, dengan sedikit bantuan yang masuk.

    Kumpulan bantuan berkata hampir mustahil untuk menghantar bantuan kemanusiaan di kebanyakan Gaza, sebahagiannya kerana penduduk yang terdesak mengerumuni konvoi bantuan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengatakan satu perempat daripada 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza menghadapi kebuluran.

    Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qidra berkata 280 orang lagi cedera dalam serangan hari ini. Fares Afana, ketua perkhidmatan ambulans di Hospital Kamal Adwan, berkata pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mendapati ‘puluhan atau ratusan’ terbaring di atas tanah. Beliau berkata tidak ada ambulans yang mencukupi untuk membawa semua yang mati dan cedera dan ada yang dibawa ke hospital menaiki pedati keldai.

    Tentera Israel berkata ia sedang menyiasat laporan itu.

    Kementerian Kesihatan berkata angka kematian rakyat Palestin akibat perang telah meningkat kepada 30,035, dengan 70,457 lagi cedera. Ia tidak membezakan antara orang awam dan pejuang dalam angkanya tetapi mengatakan wanita dan kanak-kanak membentuk kira-kira dua pertiga daripada mereka yang terbunuh. – AP

    Khemah menempatkan penduduk Palestin yang dipindahkan akibat serangan Israel dilihat di Rafah, Semenanjung Gaza pada 27 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda