MEXICO CITY, 2 DIS – Lapan maut dan dua lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah pelanggan dan orang awam di sebuah gerai tepi jalan di tengah utara Mexico, menurut pihak berkuasa kelmarin.
Pendakwa raya di negeri Guanajuato, yang dilanda konflik kartel, melaporkan insiden tembakan itu berlaku lewat malam Sabtu di bandar Apaseo el Grande.
Lapan lelaki maut di luar gerai yang menjual sejenis gula-gula berasaskan susu tradisional. Seorang lelaki dan seorang wanita turut cedera dalam serangan tersebut, namun tiada maklumat segera mengenai keadaan mereka.
Media tempatan melaporkan bahawa seorang paramedik merupakan antara yang terbunuh dalam insiden tembakan tersebut. Agensi ambulans dan paramedik negeri menyatakan bahawa seorang juruteknik perubatan kecemasan meninggal dunia lewat malam Sabtu, namun tidak mengesahkan sama ada dia termasuk dalam kalangan mangsa serangan itu.
Video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan mayat-mayat lelaki dengan kecederaan di kepala terbaring di sekitar motosikal yang diparkir di luar gerai tersebut.
Bandar Apaseo el Grande dan komuniti kembarnya, Apaseo el Alto, telah menjadi sasaran serangan tembakan beramai-ramai dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang menurut pakar berkait dengan persengketaan kartel dadah. Sejak kira-kira tahun 2018, beberapa siri tembakan beramai-ramai telah berlaku di bar, kelab, dan perniagaan di kawasan tersebut.
Guanajuato, yang merupakan hab perindustrian dan pertanian, telah lama mencatat jumlah pembunuhan tertinggi berbanding 32 negeri lain di Mexico. Kartel Jalisco dan kumpulan tempatan Santa Rosa de Lima telah terlibat dalam pertempuran kawasan selama bertahun-tahun di negeri ini. – AP