Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Sembilan orang yang lulus pemeriksaan secara teori dan praktikal bagi kursus Asas Pemandu Pelancong hari ini menerima sijil pada majlis yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).
Hadir menyempurnakan penyampaian sijil itu ialah Setiausaha Tetap, KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.
Kursus Asas Pemandu Pelancong kali ke-11 itu telah dikendalikan selama 10 hari bermula 23 Ogos lalu yang bertujuan untuk meningkatkan dan memantapkan kemahiran seorang pemandu pelancong dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti dan memenuhi kehendak piawaian yang di-tetapkan.
Selain menyelaras maklumat dan informasi yang disalurkan oleh setiap pemandu pelancong adalah tepat dan betul, ia juga membuka peluang-peluang pekerjaan yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk tempatan khususnya dalam kalangan belia negara ini.
Kursus yang mula diperkenalkan pada 2016 itu merupa-kan sebagai salah satu pra syarat Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) bagi mana-mana individu yang ingin mendapatkan lesen pemandu pelancong yang dikendalikan dengan kerjasama antara pihak JKP dan Kolej Perdagangan Laksamana (LCB).
Sepanjang tempoh kursus itu, peserta didedahkan teknik-teknik kemahiran asas praktikal dan teori tentang tatacara sebagai pemandu pelancong, pengenalan destinasi-destinasi utama pelancongan dan tempat-tempat menarik.
Adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak persendirian yang mengendalikan perkhidmatan pemandu pelancong tanpa lesen yang sah dan boleh dikenakan denda mengikut peraturan 21 di bawah Perintah Pelancongan, 2016.
Dengan keperluan dan permintaan tinggi pemandu pelancong, JKP mempelawa belia yang sedang dan masih mencari pekerjaan untuk mengikuti kursus yang ditawarkan.
Pendaftaran kursus akan dibukakan bagi penyertaan orang ramai pada awal tahun 2023 nanti. Bagi sebarang pertanyaan dan pendaftaran bolehlah menghubungi LCB.
