Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abadikan permainan bola sepak butang dalam muzium khas

    BUDAPEST – Sambil menjentik cakera berbentuk syiling di sekeliling meja, rakyat Hungary masih meminati sukan mudah bola sepak butang, permainan yang mereka cipta satu abad yang lalu.

    “Permainan ini adalah sukan kebangsaan tradisional, seperti petanque kepada Perancis atau besbol kepada Amerika,” kata Attila Becz, yang mengendalikan muzium khusus untuk permainan itu, kepada AFP.

    Permainan ini dimainkan di atas meja besar licin yang menggambarkan padang bola sepak dengan kedua-dua pemain mengawal sepasukan cakera dengan gabungan strategi dan ketangkasan.

    Pemain adalah cakera bulat dan digerakkan dengan menjentik jari atau sikat di tepinya, satu pusingan pada satu masa. Pada 1960an dan 70an sebelum penyebaran permainan komputer, Becz yang berusia 65 tahun bermain permainan itu sebagai seorang kanak-kanak dan mula mengumpul pemain butang dari usia lapan tahun.

    “Pada musim panas kami bermain bola sepak di jalanan dan di lot kosong, kemudian pada musim sejuk bola sepak butang di dalam rumah, tidak banyak lagi yang boleh dilakukan untuk kanak-kanak yang gemarkan bola sepak,” katanya.

    Cakera Pemain bola sepak butang pasukan bola sepak kebangsaan (Argentina/1972, Chile/1962) dipamerkan di ‘Muzium Bola Sepak Button’. – AFP
    Juara dunia Hungary dalam bola sepak butang, Zoltan Bottyan bermain di atas meja dengan butang kegemarannya di Szigetszentmiklos, Hungary. – AFP
    Trofi-trofi pasukan Bola Sepak Butang Hungary dipamerkan di ‘Muzium Bola Sepak Button’. – AFP

    Beberapa dekad kemudian dia membuka apa yang dipanggil ‘satu-satunya di dunia’ muzium bola sepak butang di Szigetszentmiklos berhampiran dengan Budapest. Deretan kabinet di dewan kecil memaparkan memorabilia termasuk butang antik dari 1920an dan set plastik yang mengandungi imej bintang zaman moden.

    Gambar-gambar di dinding menunjukkan pemain lagenda seperti Pele dan Ferenc Puskas membongkok di atas meja bola sepak butang, bukti kepopularan permainan itu selama beberapa dekad.

    “Jurulatih asing memperkenalkan bola sepak ke Hungary, kemudian orang Hungary mengambil papan taktik kayu yang digunakan untuk menunjukkan taktik bola sepak dan membuat permainan daripadanya satu abad yang lalu,” kata Becz.

    “Pada masa itu terdapat peraturan yang berbeza dan mereka menggunakan butang kot sebenar yang boleh meluncur di atas meja,” kata Becz sambil mengendalikan butang antik berkilat dari tahun 1920an.

    Butang pertama kali dihasilkan secara besar-besaran pada tahun 1940an, dengan gambar pemain terlekat pada tahun 1950an.

    “Ia adalah zaman keemasan untuk bola sepak butang dan Hungary, yang diketuai oleh Puskas, berada di puncak bola sepak dunia ketika itu,” kata Becz.

    Walaupun lazimnya dimainkan oleh pesara, bola sepak butang mengekalkan status pemujaan dalam kalangan generasi muda dengan kira-kira 1,000 pemain di Hungary berdaftar di lebih 30 kelab.

    Pada kejohanan bulan lalu di dewan komuniti Budapest, seorang pesaing Edvard Katona, 28, memberitahu AFP tarikannya terletak pada kesederhanaannya berbanding saingan permainan video bola sepak.

    “Ia seperti versi analog permainan konsol FIFA untuk kami,” katanya. Bola sepak butang juga popular di Brazil di mana ia mempunyai tradisi yang sama panjang walaupun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda