KUCHING, 21 Jun – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan hormat daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.
Pertemuan diadakan di pejabat Abang Johari di bangunan Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya di sini kira-kira 10 pagi tadi.
Kunjungan hormat hampir sejam itu turut dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Mohammad Mantek.
Hadir sama Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How serta barisan pimpinan tertinggi parti tersebut.
Selesai mengadakan pertemuan itu, Zuraida bersama rombongan meneruskan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Padawan di Batu 10, Jalan Penrissen, Kota Padawan.
Terdahulu, Zuraida melakukan kunjungan hormat serta pertemuan tertutup dengan Dr Sim di Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya kira-kira pukul 9 pagi. – Bernama