Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abbas ucap tahniah kepada Starmer, seru sokongan UK

    RAMALLAH, 8 JULAI – Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Ahad mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, di mana Abbas mengucapkan tahniah kepada Starmer atas kemenangan Parti Buruh dalam pilihan raya parlimen baru-baru ini.

    Abbas menyatakan keyakinan bahawa kerajaan baharu Britain akan mengukuhkan ikatan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

    Beliau mendoakan kejayaan dan kemakmuran kepada Starmer dan UK, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

    Semasa panggilan itu, Abbas mengemas kini Starmer mengenai situasi di wilayah Palestin, menekankan keperluan mendesak usaha antarabangsa untuk mencapai gencatan senjata, menyampaikan bantuan kemanusiaan, mengundurkan tentera Israel dari Gaza dan ‘menyalurkan’ dana cukai Palestin yang ditahan oleh Israel.

    Abbas juga mengesahkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Starmer ke arah penyelesaian dua negara berdasarkan legitimasi antarabangsa, sambil menekankan kepentingan Britain mengiktiraf Negara Palestin.

    Sementara itu, Starmer mengulangi sokongan United Kingdom (UK) terhadap gencatan senjata, bantuan kemanusiaan dan pembebasan tawanan serta dana cukai Palestin yang ditahan oleh Israel.

    Beliau menekankan kepentingan program reformasi kerajaan Palestin dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama, sambil menyatakan bahawa Setiausaha Luar Britain David Lammy akan melawat Palestin tidak lama lagi untuk perbincangan lanjut. – Bernama

    Perdana Menteri Britain, Keir Starmer bergambar di luar Bangunan Parlimen, tempat Perhimpunan Ireland Utara, di Stormont, timur Belfast, semasa lawatan pertamanya sebagai perdana menteri ke Ireland Utara, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda