Sunday, October 6, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adira sukar buang loghat Sabah ketika berlakon

    Setelah sekian lama tidak berlakon, penyanyi Adira Suhaimi kembali melebarkan sayapnya dalam bidang itu menerusi karya terbaharu arahan Erma Fatima.

    Adira atau Siti Adira Suhaimi, 32, berkata, dia tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan Erma walaupun tidak mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut.

    “Dulu saya pernah berlakon sebelum kahwin tapi kali ini selepas saya ‘bujang’ semula. Saya pun nak cuba bidang baru memandangkan anak-anak sudah besar jadi boleh saya kerja lebih sikit. Tetapi menyanyi tetap menjadi keutamaan buat saya,” katanya ketika dihubungi mStar.

    Berpeluang bekerja dengan barisan pelakon hebat, Adira memberitahu dia banyak bertanya bagi menimba ilmu baharu.

    Apatah lagi kata Adira, drama lakonannya itu turut dibintangi pelakon berpengalaman seperti Adi Putra, Nabila Huda, Fathia Latiff dan Elly Mazlein.

    “Saya memang tak buang masa dan minta mereka yang lebih berpengalaman ajar saya. Setiap hari saya akan bertanya mereka walaupun sudah faham karakter tapi saya masih perlukan idea dan pandangan orang lain,” katanya.

    Bercakap mengenai cabaran ketika penggambaran, Adira memberitahu ‘membuang’ loghat Sabah dalam melontarkan dialog perkara paling sukar dilakukan.

    Pun begitu, Adira berasa selesa disebabkan drama bersiri 10 episod itu berbentuk komedi santai.

    “Saya sudah bersedia dengan pelbagai kritikan warganet tidak kiralah positif ke negatif saya terima,” kongsinya.

    Untuk rekod, Adira sebelum ini pernah membintangi dua drama iaitu Tiara dan Tanah Kubur Musim ke 4 sekitar 2012. – Agensi

    Adira teruja ceburi dunia lakonan. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda