Wednesday, June 26, 2024
33.9 C
Brunei

    -

    Afghanistan siap sedia sambut Aidiladha meski berdepan cabaran ekonomi

    KABUL, 16 JUN – Seperti umat Islam di seluruh dunia, rakyat Afghanistan bersiap sedia menyambut Aidiladha dengan mengorbankan haiwan dan mengagihkan daging kepada mereka yang memerlukan.

    Menurut pengumuman pihak berkuasa pada malam Sabtu, Aidiladha akan disambut pada 17 Jun.

    Bagaimanapun, kadar pengangguran dan kemiskinan yang tinggi telah mengurangkan kuasa beli rakyat Afghanistan secara drastik, menyukarkan mereka untuk melaksanakan ibadah korban.

    “Saya merayau di pasar tetapi tidak dapat membeli seekor kambing kerana harganya yang tinggi. Dengan harga yang semakin meningkat, tiada siapa mampu membeli,” kata Rahmatullah, seorang penduduk di ibu negara Afghanistan, Kabul.

    Rahmatullah, 28, berusaha membeli seekor kambing untuk dikorbankan pada hari pertama Aidiladha. “Dahulu, kami membeli seekor kambing pada harga kira-kira 16,000 atau 17,000 afghani tetapi tahun ini harganya telah mencecah 19,000 hingga 20,000 afghani.

    “Keadaan ekonomi di Afghanistan semakin teruk. Rakyat sedang menghadapi kesukaran ekonomi akibat pengangguran dan ekonomi Afghanistan yang miskin,” kata Rahmatullah.

    Sementara itu, pembekal ternakan Khan Mohammad turut menyuarakan kebimbangan terhadap permintaan yang rendah dan kadar pendapatan yang sedikit ekoran bilangan pelanggan tidak memenuhi jangkaannya.

    Mohammad membeli 22 ekor lembu dari perkampungan untuk dijual di Kabul menjelang Aidiladha, tetapi permintaan terhadap haiwan ternakan itu adalah rendah.

    “Saya membayar 70,000 afghani untuk setiap ekor lembu, tetapi pembeli hanya mahu membayar 60,000 hingga 65,000 afghani. Saya mengalami kerugian,” kata Mohammad, 35, kepada Xinhua.

    Pembekal ternakan itu mendakwa dia hanya berjaya menjual lima ekor lembu sepanjang minggu lalu, sedangkan tahun lalu sebelum perayaan, dia menjual 10 hingga 12 ekor lembu setiap hari. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kelahiran Korea Selatan kembali pulih pada bulan April

    SEOUL, 26 JUN - Kelahiran di Korea Selatan kembali pulih dalam tempoh 19 bulan di tengah-tengah kebimbangan yang berlarutan mengenai penurunan berterusan dalam jumlah...