Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Pejabat Peguam Negara (AGC) mengadakan majlis sambutan Israk Mikraj bagi tahun 1446 Hijrah di Bangunan Undang-undang dan Mahkamah-mahkamah, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, petang kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib.
Turut hadir Peguam cara Negara, Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi serta pegawai dan kakitangan AGC.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abd Rajid.
Majlis diserikan dengan ceramah agama khas bertajuk Sembahyang Mencerdaskan Minda disampaikan oleh Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang.
Acara tahunan itu adalah sebahagian daripada usaha AGC untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebesaran Islam, khususnya peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangannya.