Friday, October 4, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Agungkan 10 hari pertama Zulhijah

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Sekarang kita sudah pun berada di penghujung bulan Zulkaedah dan kini akan melangkah ke bulan Zulhijah iaitu bulan suci yang sangat istimewa penuh dengan kebajikan serta keberkatan.

    Bulan Zulhijah dikenali umum sebagai bulan yang dikhususkan padanya ibadat haji dan korban.

    “Walau bagaimanapun, perlu ditekankan keistimewaan bulan Zulhijah bukan setakat pada pensyariatan dua ibadat itu sahaja, akan tetapi 10 hari pertama pada bulan Zulhijah juga hari-hari yang agung dan sangat istimewa di sisi Allah SWT,” kata khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Menghidupkan 10 Hari Pertama Bulan Zulhijah’, hari ini.

    Menurutnya lagi, 10 hari pertama pada bulan Zulhijah itu amat istimewa sehinggakan amal soleh yang dikerjakan di dalamnya adalah lebih afdal daripada amal soleh pada hari-hari lain.

    Bahkan amal soleh di dalamnya dianggap lebih afdal daripada pulang selepas berjuang pada jalan Allah SWT, tambahnya.

    Antara amalan yang patut dikerjakan pada 10 hari pertama bulan Zulhijah ialah memperbanyakkan sembahyang sunat, puasa sunat dan zikir. – AFP

    Khatib turut menjelaskan tanggal 10 Zulhijah merupakan Hari Raya Aidiladha yang diisi dengan takbir, sembahyang Sunat Aidiladha, ibadat korban dan seumpamanya.

    Maka antara amalan yang paling utama serta patut dikerjakan dan dilipatgandakan pada 10 hari pertama pada bulan tersebut ialah memperbanyakkan sembahyang sunat, puasa sunat dan zikir.

    Sembahyang sunat mempunyai keistimewaan yang tersendiri di mana antaranya ia akan menjadi penimbal terhadap kekurangan-kekurangan yang terdapat pada sembahyang fardu kita kerjakan.

    Adapun puasa sunat yang sangat dianjurkan itu adalah puasa sunat Arafah iaitu pada 9 Zulhijah. Hukum puasa sunat Arafah adalah sunat muakadah (sunat yang sangat dituntut) bagi orang yang tidak mengerjakan haji.

    Sebaliknya orang yang mengerjakan haji disunatkan untuk tidak berpuasa walaupun dia berupaya untuk melaksanakan puasa. Begitu juga tidak disunatkan bagi orang musafir serta orang yang sakit untuk berpuasa pada hari Arafah jika dengan berpuasa itu akan mendatangkan kesukaran kepada mereka.

    “Inilah sebahagian amalan yang elok dilipatgandakan dan diperbanyakkan pada 10 hari pertama pada bulan Zulhijah. Oleh yang demikian, jangan biarkan hari-hari istimewa ini berlalu begitu sahaja tanpa direbut segala kelebihan yang ada padanya kerana ini adalah peluang keemasan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengangkat darjat di sisiNya.

    “Kita tidak tahu adakah kita masih berpeluang lagi menemuinya selepas ini atau pun sebaliknya,” ujar khatib lagi.

    Terdahulu khatib menyatakan Allah SWT Yang Maha Berkuasa telah menciptakan alam semesta ini dengan cukup sempurna, khasnya untuk keperluan hidup makhlukNya di bumi yang indah ini dan juga untuk manusia membina masa depan yang kekal abadi di akhirat.

    Dengan peredaran serta pusingan bumi dan bulan, maka wujudlah perkiraan masa atau zaman, 12 bulan yang mengandungi kemuliaan dan kelebihannya yang tersendiri. Perlu diketahui, bahawa bulan-bulan yang dihormati itu ialah Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijah.

    Tambahnya, para ulama menjelaskan bahawa bulan-bulan berkenaan dinamakan bulan haram adalah disebabkan pada bulan tersebut diharamkan melakukan peperangan sebagaimana yang berlaku di zaman jahiliah.

    “Sesungguhnya amat besar ganjaran pahala bagi mereka yang beramal ibadat dalam empat bulan haram tersebut, sebaliknya amatlah besar dosanya untuk mereka yang melakukan peperangan atau pembunuhan, kemungkaran, maksiat dan seumpamanya,” tekan khatib.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda