Oleh Samli
BANDAR SERI BEGAWAN – Meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dengan penuh keceriaan dan kemeriahan adalah antara peristiwa yang dinanti-nantikan buat keluarga besar Haji Asgar bin Othman dan isterinya Hajah Kamsiah @ Salmah binti Metassan, penduduk jati Kampung Tamoi Ujong.
Pasangan suami isteri yang mempunyai lebih 70 orang cucu dan 35 orang cicit itu berasa amat berbesar hati dan gembira apabila melihat telatah cucu-cicit mereka ketika mengadakan perhimpunan Hari Raya di rumah anaknya, Dayang Kamariah binti Haji Asgar di Kampung Katok B. Haji Asgar dan Hajah Kamsiah turut mengongsikan pengalamannya mengenai suasana berpuasa di bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya ketika zaman muda kepada cucu-cicit mereka.
Namun begitu, Hari Raya tetap disambut dengan meriah kerana konsep yang menjadi keutamaan keluarga itu sejak dahulu lagi ialah mengeratkan hubungan silaturahim terutama sekali saudara-mara yang jauh agar anak cucu keturunan beliau tahu akan susur galur hubungan persaudaraan tersebut.