Monday, October 28, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    AITI anjur forum pelihara kesihatan mental di tempat kerja

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024, Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah mengadakan forum kesedaran kesihatan mental kali kedua dengan tema Kesihatan Mental di Tempat Kerja yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AITI, di sini, forum yang dihadiri oleh kepimpinan kanan dan kakitangan AITI bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran, mempromosikan pengurusan efektif kesihatan mental, mengutamakan kesejahteraan kakitangan serta mengurangkan stigma dan persepsi negatif terhadap kesihatan mental.

    Forum berkenaan menyaksikan pembentangan oleh dua ahli panel undangan iaitu Ahli Psikologi Klinikal dan Ketua Strategi Kesihatan Mental di Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Puan Nor Syahmun binti Haji Matassan dan Timbalan Dekan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Mohammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

    Para ahli panel menerangkan mengenai dengan cabaran kesihatan mental utama yang dihadapi di tempat kerja serta menerangkan perspektif Islam mengenai kesihatan mental. Acara diakhiri dengan sesi soal jawab yang menggalakkan penyertaan daripada semua yang hadir semasa forum berkenaan.

    Selaras dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Ilmu 2024 Menangani Gejala Mental, AITI mengambil peluang untuk memperkenalkan Program Kesejahteraan iaitu sebuah inisiatif yang direka untuk menyediakan sokongan tambahan dalam pengurusan kesihatan mental kakitangan di tempat kerja bagi membina sebuah organisasi yang berprestasi tinggi dan mampan yang menyokong matlamat organisasi dan kakitangannya. –

    Ahli-ahli panel semasa menyampaikan pembentangan.
    Antara yang hadir semasa forum berkenaan.- GAMBAR SERAHAN AITI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda