Oleh Rady HF –
Suminah memiliki wajah yang manis, tak jemu dipandang. Apalagi, saat ia masih muda dulu. Tak ada yang dapat menandinginya. Meski tak cantik, ia memiliki kulit halus yang hampir jadi dambaan setiap lelaki. Tidak salah, jika Badrun terpikat dengan wanita itu untuk dikahwini.
Enam bulan kemudian, majlis perkahwinan sederhana pun dilangsungkan. Selang beberapa hari kemudian, Badrun dan isterinya pergi ke luar pulau untuk merantau. Tahun-tahun pertama perkahwinan, pasangan itu menjalani hidup rukun damai. Cubaan dan ujian dapat diatasi mereka.
Tahun berlalu, keduanya menjalani kehidupan seperti biasa. Badrun jadi petani dan Suminah sering membantu suaminya bercucuk tanam. Badrun seorang yang sentiasa bersyukur atas apa yang dimiliki, meskipun kehidupan mereka tidak kaya. Setelah beberapa tahun berkahwin, mereka belum dikurniakan zuriat. Hal itu menjadi punca tekanan bagi Suminah, yang merasakan ketidakpastian di dalam hatinya. “Bagaimana jika Badrun mencari isteri lain?” fikirnya.
Suatu malam, Badrun kembali ke rumah selepas seharian bekerja di ladang. Dia melihat Suminah duduk di sofa dengan wajahnya yang sedih. “Suminah, mengapa kau tidak senyum? Kita masih memiliki satu sama lain dan itu sudah cukup,” katanya lembut.
“Tapi, Badrun! Kita tidak memiliki anak! Kita tidak akan pernah menjadi keluarga yang bahagia tanpa anak!” balas Suminah, menahan air mata.
Badrun merasakan kesedihan di hati isterinya, tetapi dia tidak tahu bagaimana untuk menghiburnya. Mereka telah menjalani hidup berdua, tetapi kehadiran anak yang dinanti-nantikan seakan menjadi beban yang terlalu berat untuk Suminah. Seiring berjalannya waktu, tekanan itu terus menghimpit Suminah, menjadikannya lebih cenderung untuk mendengarkan suara-suara negatif di sekelilingnya.
MENCARI JALAN KELUAR
Pada suatu petang, Suminah berjumpa dengan seorang dukun yang terkenal di kampung.
Dukun tersebut dikenali kerana dapat membantu menyelesaikan masalah kehidupan, terutamanya mengenai perkahwinan dan zuriat. “Saya ingin mendapatkan anak kerana suami saya mungkin akan mencari isteri lain jika keadaan ini berlanjutan,” keluh Suminah kepada dukun tersebut.
Dukun itu memandangnya dengan tajam. “Kau tidak perlu khuatir. Campurkan darah haidmu dalam minuman suamimu! Dengan cara seperti itu, kau tidak akan ditinggalkan suami mu.” Demikian saran ‘orang pintar’ yang membuatnya gelap mata. “Itu juga boleh membuat suami mu menurut semua perintah mu!”
Suminah terkejut mendengar nasihat tersebut, tetapi dia tetap bersemangat dan mengikuti saranan tersebut. “Apa yang perlu saya lakukan? Saya ingin mendapatkan suami yang setia!” tanyanya.
“Ikut sahaja arahan saya. Hanya dengan cara itu, dia akan menjadi milik mu sepenuhnya,” jawab dukun itu dengan penuh keyakinan.
Setelah pulang, Suminah merenungkan nasihat dukun itu. Dalam keadaan terdesak, dia memutuskan untuk mencuba. Suatu malam, ketika Badrun pulang dari ladang, Suminah membancuh secangkir kopi yang telah dicampurkan darah haidnya. “Ini adalah kopi istimewa untuk mu, Badrun,” ucapnya dengan senyuman.
Badrun tidak menyedari apa yang terkandung di dalamnya. Dia mengambil cawan dan menghirupnya. “Ada rasa pelik tapi sedap! Kau memang serba pandai, Suminah,” puji Badrun.
Namun, sesuatu yang aneh mula berlaku. Badrun yang sebelum ini seorang yang berpendirian dan berani mula menunjukkan sikap yang berbeza. Dia menjadi lebih patuh dan sentiasa mengikut kata Suminah, bagai kerbau dicucuk hidung.
“Apa yang kau buat pada kopi ini? Kenapa kau nampak begitu gembira?” Badrun bertanya.
“Tidak ada yang istimewa, hanya sedikit bahan rahsia,” jawab Suminah dengan senyum yang penuh rahsia.
MELUKAI HATI MERTUA
Badrun sebenarnya masih memiliki ibu kandung, bernama Aminah, 60. Ibunya itu sudah menjanda kerana bapak Badrun meninggal dunia. Tapi ia memilih tinggal di rumah peninggalan suaminya.
Selang beberapa tahun setelah Badrun mengahwini Suminan, dia membuat rumahnya sendiri, tidak jauh dari rumah Aminah. Itu dilakukan oleh Badrun agar kehidupan rumah tangga yang dibina tidak terjadi perbalahan. Apalagi ia tahu watak isterinya itu yang kadang-kadang cukup emosi dan panas baran.
Waktu berlalu, Aminah tetap memilih untuk tinggal di rumah peninggalan suaminya itu dan tidak mahu tinggal serumah dengan anak menantunya. Ia memilih hidup sendiri daripada tinggal bersama Badrun dan Suminah. Tapi, di kala waktu mengizinkan, ia menyempatkan diri mengunjungi Badrun. Sebaliknya, Badrun juga kerap mengunjungi ibunya.
Suatu hari, Badrun berkunjung ke rumah ibunya. Badrun berasa kasihan melihat ibunya tinggal seorang diri. Maklum, ia tidak boleh mengirim keperluan yang diperlakukan ibunya setiap saat. Maka, Badrun berpesan kepada ibunya, “Kalau ibu perlukan sayuran, pisang, ubi atau apa saja, ibu tidak usah bersusah payah membeli. Ibu boleh ambil di kebun saya!”
“Kadang-kadang ibu merasa malu,” jawab Aminah.
“Kenapa harus malu? Tidak akan habis hasil kebun itu jika kami makan sendiri. Jadi, daripada banyak yang jatuh dan tidak termakan lebih baik ibu memetik untuk keperluan ibu!”
“Terserahlah, jika itu mahu mu!”
Suatu hari, Aminah berkunjung ke rumah Badrun untuk mengambil sayur-sayuran dari kebun. Dia ingat pesan Badrun bahawa dia boleh mengambil sayuran di kebun mereka.
Namun, ketika Aminah sedang memilih sayur-sayuran, dia terkejut melihat Suminah muncul dengan wajah yang masam.
“Eh, wanita tua! Sedap saja mengambil sayur di kebun kami, apa kau ingat ini kebun mu?” bentak Suminah dengan nada tinggi.
Aminah terkejut dan tidak tahu bagaimana untuk menjawab. “Saya hanya ambil sedikit untuk masakan. Badrun yang membenarkan,” jawab Aminah dengan lembut.
“Jika Badrun yang membenarkan, itu bukan urusan kau. Pergi sana! Jangan berani datang lagi!” Suminah mengarahkan, suaranya penuh dengan kemarahan.
Bagai disambar petir, Aminah mendengar kata-kata pengusiran menantunya itu. Lebih tragis dan menyakitkan lagi, kata-kata itu keluar dari mulut Suminah, isteri anaknya.
Hati Aminah terasa tertusuk jarum dan ia tak ingin sayatan kata-kata pedih menantunya itu kian melukai lebih dalam lagi. Kerana itu, ia pun cepat-cepat melangkah pulang.
Tetapi, di dalam hati, ia merasa kecewa. Bagaimana anak menantunya itu berani mengusir dirinya. Ia pulang dengan berurai air mata. Hatinya sedih, sayuran yang sempat dipetiknya pun terpaksa ditinggalkannya. Ia tidak sanggup membawa sayuran yang di petiknya.
Hatinya seperti tersayat sembilu dan tanpa sedar keluar kata-kata tidak baik. “Terkutuklah kau! Aku tidak reda dunia akhirat kau hina aku seperti ini.”
Setelah peristiwa itu, Suminah merasa berkuasa. Dia merasa telah berjaya mengawal hidup Badrun, tetapi dalam diam, perbuatannya mulai menghantuinya. Beberapa hari kemudian, Suminah jatuh sakit. Darah mengalir dari duburnya tanpa henti dan setiap kali dia berusaha untuk menyesuaikan diri, kesakitan itu semakin menjadi-jadi.
“Kau perlu pergi berjumpa doktor, Suminah. Ini tidak boleh dibiarkan,” Badrun menegaskan.
“Saya baik-baik saja. Ini hanya masalah biasa,” Suminah menjawab dengan suara yang lemah.
Namun, semakin hari semakin teruk. Dia tidak mampu lagi menahan kesakitan. Akhirnya, setelah berbulan-bulan berbohong, Suminah terpaksa berjumpa doktor. “Saya tidak tahu apa yang berlaku. Semua ujian menunjukkan saya sihat, tetapi saya tidak dapat berhenti berdarah,” keluh Suminah kepada doktor.
Doktor kelihatan bingung. “Kita perlu melakukan beberapa ujian lanjut untuk memahami keadaan awak,” katanya. Suminah hanya mampu mengangguk, tetapi dalam hati dia tahu itu mungkin ada kaitan dengan apa yang telah dilakukannya.
Setiap malam, Suminah berdoa agar keadaannya bertambah baik. Tetapi kesakitan itu tidak pulih. Dalam kesedihan dan penyesalan, dia akhirnya teringat akan sumpah yang diucapkan ibu mertuanya. “Terkutuklah kau! Aku tidak reda dunia akhirat kamu hina aku seperti ini.” Kata-kata itu terngiang-ngiang setiap malam.
“Ya Allah, ampunilah aku. Aku tidak sepatutnya melakukan semua ini. Maafkan aku, ibu. Saya tidak pernah menghormati ibu,” tangisnya.
Akhirnya, Suminah terpaksa menghadapi realiti pahit. Dengan darah yang tidak berhenti mengalir, Suminah terpaksa menerima nasibnya. Dalam keadaan yang sangat lemah, dia akhirnya berterus terang kepada Badrun atas apa yang dibuatnya selama ini dan selepas itu dia juga menelefon ibu mertuanya untuk memohon kemaafan.
“Ibu, maafkan saya… Saya tidak seharusnya menghina ibu. Saya tidak dapat lagi menanggung ini,” ujarnya dengan suara yang nyaris tidak kedengaran.
“Aku sudah memaafkan mu, Suminah. Tetapi ingatlah, kehidupan ini ada balasannya.
Semoga kau belajar daripada kesilapan,” jawab Aminah dengan nada lembut.
Beberapa hari kemudian, Suminah menghembuskan nafas terakhirnya. Badrun berasa kehilangan yang mendalam setelah kematian isterinya. Dia tidak pernah terfikir bahawa tindakan Suminah akan membawa kepada kematiannya.