KUALA LUMPUR, 8 MAC – Stadium Nasional Bukit Jalil kekal menjadi venue bagi aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 melibatkan skuad Harimau Malaya menentang Oman, selepas keadaan padang didapati berada pada tahap baik.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman hari ini, kurang tiga minggu menjelang aksi pada 10 malam, 26 Mac itu.
Keputusan itu dibuat selepas lawatan bagi meninjau keadaan terkini oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac bersama-sama ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon serta barisan kejurulatihan, semalam.
“Hasil pemeriksaan dan penilaian pada lawatan tersebut mendapati bahawa persediaan padang menjelang aksi pada 26 Mac ini adalah mengikut jadual dan kondisi rumputnya dijamin akan berada pada tahap yang terbaik untuk aksi menentang Oman itu nanti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum ini, timbul persoalan mengenai keadaan padang di stadium keramat skuad Harimau Malaya itu selepas beberapa konsert diadakan di venue berkenaan. – Bernama