Sunday, October 6, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alcaraz juara baharu Wimbledon

    LONDON, 17 JULAI – Carlos Alcaraz (gambar – AP) akhirnya berjaya menundukkan juara tujuh kali, Novak Djokovic untuk meraih gelaran Wimbledon pertamanya semalam, sekali gus memusnahkan impian pemain Serbia itu untuk meraih gelaran Grand Slam ke-24 menyamai rekod dunia.

    Pemain nombor satu dunia, Alcaraz bangkit daripada kekalahan set pertama dan berjaya menyelamatkan set point dalam set kedua untuk menang dengan keputusan 1-6, 7-6 (8/6), 6-1, 3-6, 6-4 selepas bermain selama empat jam dan 42 minit di gelanggang Centre Court.

    Ia adalah gelaran kedua bagi pemain berusia 20 tahun itu selepas meraih gelaran Terbuka AS tahun lalu, menjadikannya juara lelaki ketiga termuda Wimbledon.

    Keputusan itu juga akan mencetuskan spekulasi hangat mengenai permulaan peralihan generasi, dengan Djokovic berusia 36 tahun membawa harapan ‘Big Three’ selepas Roger Federer bersara dan Rafael Nadal yang mengalami kecederaan serius kepada generasi baharu pemain tenis yang muda dan berbakat.

    Juara Terbuka Australia dan Terbuka Perancis, Djokovic, berhasrat untuk menandingi rekod Federer dengan meraih lapan gelaran Wimbledon, menyamai rekod keseluruhan Margaret Court iaitu 24 gelaran Slam dan menjadi juara lelaki tertua di All England Club.

    Apabila dia meraih gelaran major pertamanya di Terbuka Australia pada 2008, Alcaraz baru berumur tiga bulan sebelum mencapai ulang tahunnya yang kelima.

    “Awda memberi inspirasi yang besar kepada saya,” kata Alcaraz kepada Djokovic selepas dinobatkan sebagai juara Sepanyol ketiga bagi kejohanan tersebut, mengikuti jejak langkah Manuel Santana pada tahun 1966 dan Nadal pada tahun 2008 dan 2010.

    “Saya mula bermain tenis dengan menonton permainan awda. Sejak saya dilahirkan, awda sudahpun memenangi kejohanan. Ia luar biasa,” tambahnya sambil tersenyum setelah melepaskan 66 pukulan pemenang menentang pemain Serbia itu, mengimbangi 45 kesilapannya sendiri. – AP

    Carlos Alcaraz (kiri), memgang trofi kemenangan kejohanan tenis Wimbledon di London, pada 16 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda