Selepas lapan tahun memegang status duda, pelakon dan pelawak Along Cham akhirnya kembali bergelar suami dengan wanita pilihannya.
Memetik laporan mStar, Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, menerusi perkongsian di Instagram, dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan pada majlis yang diadakan di sebuah masjid.
Along bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkahwinan keduanya itu.
“Bismillah… Assalammualaikum Sayang.
“Berkat doa kalian selama ini, terima kasih atas doanya,” katanya.
Along berkongsi perkara itu melalui satu hantaran di Instagramnya pada petang kelmarin.
Untuk rekod, Along pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Zila Seeron, 35, pada 23 Januari 2010.
Mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Ahmad Daniel, 13 tahun.
Pada 13 Ogos 2016, isteri pelawak itu ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atas tuduhan khalwat.
Along dan Zila kemudiannya bercerai talak satu pada 29 Ogos 2016. – Agensi