Thursday, April 24, 2025
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amalan menabung ajar urus kewangan bersistematik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Amalan menabung merupakan amalan yang mulia dan perlu diterapkan kepada para pelajar sejak dari kecil lagi supaya mereka mempunyai sumber kewangan pada usia yang masih kecil lagi.

    Amalan itu dapat mendidik mereka agar tahu menghargai duit atau wang dalam perbelanjaan harian. Dalam hubungan itu, Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) telah melancarkan Projek Sekolah PGGMB 5 Tahun (2021-2025) yang membawa tema, Menabung untuk Masa Depan yang telah dilancarkan pada 6 April lalu.

    Sebagai usaha untuk memperkenalkan amalan menabung berkenaan kepada murid-murid sekolah PGGMB, Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak turut mengadakan Majlis Pelancaran Projek Menabung Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak yang berlangsung di Dewan Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan pelancaran projek bagi sekolah berkenaan ialah Setiausaha Kewangan PGGMB, Dr Haji Mahali bin Haji Momin. Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Agung PGGMB, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman, ahli-ahli Jawatankuasa PGGMB, Guru Besar Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak, Haji Roslan bin Haji Mohd Hassan, guru-guru, pelajar-pelajar serta ibu bapa.

    Haji Awang Abdul Alim dalam kata alu-aluannya menyatakan projek itu dihasratkan untuk melahirkan insan yang mempunyai perancangan hidup masa depan yang cerah, cemerlang dan tidak bergantung pada mana-mana pihak, supaya murid sekolah PGGMB menanam kesedaran dan menguruskan kewangan mereka sendiri secara sistematik dengan tunjuk ajar ibu bapa atau guru, bagi jangka panjang sebagai satu ilmu dan budaya menabung serta tidak akan membebankan ibu bapa atau penjaga bagi keperluan masa depan.

    Majlis diteruskan dengan pelancaran Projek Menabung Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak yang disempurnakan oleh Dr Haji Mahali bersama-sama jemputan khas dan kira-kira 245 orang murid sekolah yang menyertai acara pelancaran projek berkenaan di mana mereka memasukkan duit syiling sebagai simpanan permulaan ke dalam satu tin berukuran kecil yang disediakan.

    Pada majlis itu juga, Dr Haji Mahali turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Peraduan Menulis Esei Bahasa Melayu bagi Murid Tahun 4 hingga 6 dan Peraduan Menulis Esei Bahasa Inggeris bagi Murid Tahun 5 hingga 6.

    Projek itu disasarkan untuk lima tahun ke hadapan di mana tin simpanan akan dibuka setiap tahun dan pengumpul terbanyak akan menerima hadiah dan sumbangan daripada PGGMB.

    Projek berkenaan dilaksanakan untuk kesemua empat buah sekolah PGGMB di mana dianggarkan seramai 961 orang murid menyertai projek itu.

    Kanak-kanak gembira menunjukkan tabung mereka pada majlis pelancaran Projek Sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) 5 Tahun bertemakan Menabung untuk Masa Depan yang berlangsung di Sekolah Tunas Jaya PGGMB di Lambak. – Gambar oleh Sim Y.H
    Dr Haji Mahali (tiga dari kiri) menyempurnakan pelancaran Projek Menabung Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda