Pelakon Amelia Christie tidak dapat menahan sedih dan mengalirkan air mata selepas menerima pelukan sokongan daripada seorang rakan, kongsi mStar.
Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok, pengasas produk kecantikan yang dikenali sebagai Dini Qistina memberikan kata-kata semangat buat pelakon itu selepas didakwa putus cinta.
“Dari kisah Amelia, mencintai seseorang tidak semestinya kita memiliki. Kadang-kadang kita harus lepaskannya untuk kebahagiaannya.
“Siapa yang pernah lalui sahaja yang tahu macam mana rasanya (putus cinta),” tulisnya.
Amelia atau Amelia Christie Lim, 24, dilihat menyambut mesra pelukan tersebut dengan linangan air mata.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet memberikan sokongan buat pelakon drama Budak Hostel Otaknya Sewel itu dan mendoakan agar Amelia dipertemukan dengan pengganti yang lebih baik.
“Sabar ya Amelia ramai lagi lelaki yang lebih baik untuk awak.
“Amelia carilah lelaki single, cipta kenangan segar bersama.
“Awak berhak mendapat lelaki lebih baik,” tulis warganet.
Sebelum ini, Amelia memaklumkan dia sudah tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad.
Kata Amelia, dia kini kembali solo malah tidak mempunyai masalah menjawab pertanyaan mengenai status hubungannya. – Agensi