Mereka yang membesar pada era 1980an ketika genre rock mencetuskan fenomena dalam dunia muzik, pasti mengenali band ikonik tanah air, Search.
Band yang sering membawa lagu rancak dengan lirik simbolik penuh makna itu menjadi pilihan halwa telinga berdekad lamanya.
Sehingga hari ini, hasil karya Search masih segar dalam ingatan, malah sering meniti di bibir peminat tidak kira lapisan usia. Malah, rata-rata stesen radio tempatan kerap memainkan karya agung Search seperti Isabella, Fantasia Bulan Madu, Kejora, Rozana dan banyak lagi.
Selain itu, setiap kali Search beraksi dalam konsert, tiket laris sekelip mata. Ini membuktikan band yang diasaskan di Johor Bahru, pada 1981 ini terus mendapat perhatian ramai, termasuk penggemar baharu.
Saban tahun, Search terus bersemangat dan tidak pernah jemu menghibur peminat, biarpun usia band itu sudah mencecah empat dekad.
Sering dilanda pelbagai kontroversi dalaman sehingga mengakibatkan ahli kumpulan berpecah dua, Search yang kini dibarisi Datuk Amy, Man Kidal, Hillary Ang dan Nasir Daud, enggan lagi menoleh ke belakang.
Bagi mereka, semua itu adalah jalan cerita yang terpaksa dilalui dalam usaha mencari rezeki di pentas muzik sehingga sudah lali dengan pelbagai cemuhan.
Jika diselak lembaran sejarah band ini, sememangnya sarat dengan pelbagai kisah yang mampu memberi inspirasi dan pedoman buat sesiapa sahaja.
Justeru, vokalisnya, Amy berhasrat untuk mengabadikan perjalanan beliau bersama rakan seperjuangan dalam sebuah naskhah berbentuk biografi untuk dijadikan tatapan umum.
Amy atau nama sebenar, Suhaimi Abdul Rahman, 64 berkata, mereka masih dalam usaha merealisasikan impian itu. – Agensi