MANILA, 30 DIS – Anak damit kepada 13 wanita Filipina yang telah diampunkan dan dihantar pulang oleh pihak berkuasa Kemboja selepas disabitkan kesalahan dan dipenjarakan kerana terlibat dalam skim ibu tumpang haram, mungkin akan diambil sebagai anak angkat, menurut kenyataan kerajaan Filipina hari ini.
Sepuluh wanita Filipina yang sedang mengandung dan tiga lagi bersama anak damit mereka telah pulang ke Manila pada Ahad, tiga hari selepas mereka diampunkan oleh Raja Kemboja, yang membatalkan hukuman penjara empat tahun mereka.
“Kerajaan Kemboja tidak mahu jual beli anak damit kepada pihak yang berurusan dengan rakyat kita diteruskan,” kata Timbalan Setiausaha Kehakiman, Nicholas Felix Ty, dalam wawancara bersama televisyen kerajaan hari ini.
Phnom Penh mahu sama ada pesalah-pesalah tersebut atau kerajaan Filipina mengambil tanggungjawab terhadap anak damit berkenaan, kata Ty, sambil menambah bahawa Manila sedang menilai ‘keupayaan’ ibu tumpang tersebut untuk membesarkan anak mereka sendiri.
“Jika kami mendapati mereka tidak dapat melakukannya, maka anak-anak damit itu mungkin diletakkan di bawah jagaan sementara kerajaan, dan kami akan mempertimbangkan kemungkinan untuk mereka, seperti pengambilan anak angkat,” tambahnya.
Kesemua 13 wanita itu merupakan sebahagian daripada 24 warga asing yang ditahan oleh polis Kemboja pada September lalu dan disabitkan kesalahan serta dipenjarakan pada 2 Disember atas tuduhan percubaan penyeludupan manusia rentas sempadan.
Tujuh lagi wanita Filipina daripada 24 individu yang terbabit tidak hamil dan telah dihantar pulang ke Filipina lebih awal, kata Ty.
Walaupun Kemboja telah mengharamkan amalan ibu tumpang komersial sejak 2016, tiada undang-undang khusus yang mengawal selia prosedur tersebut di Filipina.
Menurut pihak berkuasa Manila, ketiadaan peraturan ini mewujudkan ‘kekosongan undang-undang yang terdedah kepada penyalahgunaan.’
Sumber di Kemboja menyatakan pasangan, kebanyakannya dari China, sanggup membayar antara AS$40,000 hingga AS$100,000 kepada ejen ibu tumpang bagi mendapatkan wanita Kemboja untuk mengandungkan anak mereka. – AFP