KUALA LUMPUR – Gilbert Francis Untam berhijrah dari Rumah Panjang Malam di Nanga Tada, Kanowit ke ibu negara pada 1989 ketika baru berusia 17 tahun kerana ingin menuntut ilmu dan tinggal bersama abang yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas ketika itu.
Bagaimanapun, Gilbert tidak menyangka kehadirannya di sebuah sekolah menengah di Jalan Cochrane di sini untuk menyambung persekolahan di Tingkatan Lima ibarat satu ‘kejutan’ buat rakan sekelas kerana ada yang belum pernah menerima pelajar Sarawak berbangsa Iban.
Disebabkan kejanggalan itu, anak ketujuh daripada lapan adik-beradik berkenaan sering menerima soalan yang ‘pelik’ daripada ramai rakan antaranya ‘betulkah orang Sarawak tinggal di atas pokok?’ dan ‘mata wang apa yang digunakan di Sarawak?’
“Mereka seperti keliru dan tidak jelas tentang Sarawak tetapi saya tidak marah dan berusaha menerangkan sebaiknya cara hidup, adat dan tradisi kami yang sebenar,” kata Gilbert, 51, sewaktu mengimbau kisah penghijrahannya ke ibu negara kepada Bernama baru-baru ini.
Hari ini, setelah 34 tahun berhijrah, Gilbert berkata pemahaman dan penerimaan penduduk Semenanjung terhadap rakan-rakan Sabah dan Sarawak semakin baik, walaupun mengakui masih terdapat perkara yang boleh diperbaiki, bagi meningkatkan semangat kebersamaan sesama mereka.
Beliau berkata penerimaan yang baik juga membuka peluang kepada ramai anak dari Sabah dan Sarawak untuk menjalankan perniagaan dan aktiviti berkenaan adat dan tradisi kaum masing-masing di Semenanjung.
“Saya sendiri misalnya membuka butik pakaian Gilbert Headhunter @G&Co di Seri Kembangan, Selangor kerana penduduk di sini gemarkan fesyen moden yang bercirikan kebudayaan Borneo, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu dan Cina,” katanya yang merupakan graduan Reka Bentuk Dalaman dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Perak.
Menurut Gilbert fesyen adalah jambatan penghubung untuknya berinteraksi lebih luas dengan masyarakat Semenanjung kerana ia boleh menyatupadukan semua kaum dan menghakis prejudis membelenggu minda sesetengah pihak.
Sementara itu, Stevie Sebol, 38, berkata penghijrahannya ke Semenanjung, bermula sebagai pelajar tajaan Yayasan Sabah bagi mengikuti program integrasi nasional di Kedah dan Pahang pada 1998-2002 sebelum bekerja di Putrajaya, tidak mengalami sebarang masalah.
“Cuma pada peringkat awalnya, agak sukar untuk memahami dialek tempatan seperti loghat utara tetapi keramahan dan kemesraan yang dipamerkan oleh rakan-rakan dan para pendidik menjadi pemudah cara dalam pelbagai perkara.
“Apa pun isu yang dihadapi Malaysia termasuk ekonomi dan pembangunan, sifat saling menghormati akan menjana hubungan persaudaraan antara semua agama dan etnik,” katanya yang merupakan anak jati Kampung Kauluan, Tuaran. – Bernama