Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak watan tonggak wawasan negara

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Detik-detik kemerdekaan laungan ‘Allahuakbar’ sebanyak tiga kali yang telah dipimpin oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada 1 Januari 1984 selepas jam 12 tengah malam itu sentiasa menjadi ristaan sepanjang zaman.

    Tanpanya, kita tidak akan dikenali sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

    Dalam suasana penuh nostalgik itu, tanah air di mana kita dilahirkan ini meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK-40), Tahun 2024 namun insan-insan kelahiran sekitar 1983 dan 1984 ini pastinya tidak melepaskan peluang memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi atas rezeki menikmati usia yang sama meniti hari kemerdekaan negara.

    Berkesempatan ditemui Media Permata, salah seorang peserta kumpulan pembaca ikrar pada upacara sambutan berkenaan, Dr Deeni Rudita bin Idris bersama rakan-rakannya yang juga kini berusia 40 tahun pada tahun ini, menyatakan luahan peribadi bersulam kesyukuran di mana dalam kita meniti kemerdekaan saban tahun pastinya rakyat dan penduduk di negara ini terus menikmati pembangunan pesat, keharmonian dan kemakmuran dari semasa ke semasa lebih-lebih lagi dengan berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Beliau yang kini menjawat jawatan penolong profesor dan pensyarah di Universiti Brunei Darussalam (UBD) turut menambah seiring dalam kita meniti kemerdekaan dari tahun ke tahun, satu hal yang juga cukup menggembirakan apabila kita menyaksikan terdapat transformasi minda dalam kalangan rakyat anak bangsa Brunei sendiri sejak 40 tahun lalu secara positif lebih-lebih lagi dalam menggapai sebuah kemajuan teknologi yang pesat.

    Yang Berhormat Awang Abdul Aziz menekankan kepentingan penglibatan semua pihak ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dr Deeni (hujung kiri) bersama rakan-rakannya semasa ditemui wartawan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    “Dalam kita melewati perkembangan pesat, kita tetap berpegang pada falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB). Dalam hal ini, saya juga menaruh harapan agar golongan pelajar di negara ini terus memainkan peranan mereka dalam sama-sama mengorak langkah memajukan negara demi mencapai Wawasan Brunei 2035,” ujar Dr Deeni lagi.

    Sementara itu, dengan pencapaian 40 tahun Negara Brunei Darussalam mencapai tempoh kemerdekaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan turut merakamkan kesyukuran di mana beliau juga merupakan salah seorang rakyat kelahiran 1984 dan kini berusia 40 tahun.

    Berkongsi pandangan peribadi, beliau berkata seiring berjalannya waktu dengan meniti cabaran arus globalisasi, satu hakikat yang perlu ditanam dalam jati diri setiap insan yang bergelar anak watan bahawa tanggungjawab ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 bukanlah hanya terletak kepada pihak kerajaan semata-mata, akan tetapi ia memerlukan penglibatan semua pihak iaitu swasta, pemimpin akar umbi, persatuan-persatuan dan semua individu di negara ini termasuklah golongan belia.

    “Hadirnya golongan belia sebagai tiang harapan sesebuah bangsa dan negara itu, bukanlah hanya diukur pada kuantiti mereka sebagai sumber tenaga manusia semata-mata, namun apa yang terpenting ialah adanya nilai-nilai integriti yang menjadi amalan dalam kehidupan sehari-hari yang merangkumi sifat jati diri dan nilai-nilai murni seperti jujur, amanah, ikhlas, bertanggungjawab, adil, berdisiplin dan tidak mudah dipengaruhi.

    “Dengan adanya prestasi kualiti, keupayaan, kesanggupan, kebolehan serta ketekunan para belia yang sentiasa bergerak secara positif dan proaktif, sudah pasti membolehkan mereka membantu menjana perkembangan negara secara holistik.

    “Kita selaku rakyat dan penduduk di negara ini yang tidak terkecuali golongan pewaris bangsa iaitu belia dan beliawanis tanah air perlu memiliki jati diri penuh kepatuhan terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang teguh tanpa kompromi dalam menjalankan pelbagai aspek kehidupan demi sama-sama memberi impak positif ke arah merealisasikan ketiga-tiga matlamat Wawasan Brunei 2035.”

    “Jika dahulu konsep merdeka itu lebih merujuk kepada negara bebas daripada cengkaman jajahan namun dalam aspek kita meniti selama 40 tahun pasca kemerdekaan negara kini, apa yang perlu kita sentiasa semat dalam jiwa dan raga di mana pun kita berada ialah kedaulatan falsafah negara, MIB itu sendiri,” ujar Yang Berhormat.

    Di samping itu, Yang Berhormat turut mengungkapkan harapan agar para belia perlu sentiasa bergiat aktif dalam apa jua aktiviti kemasyarakatan demi sama-sama mampu membuka minda dan mencari jalan penyelesaian terhadap cabaran atau permasalahan kehidupan yang dihadapi seperti langkah untuk mengatasi isu pengangguran antaranya menjana kegiatan keusahawanan, dan menceburi industri kreatif.

    “Wawasan Negara 2035 hanya tinggal 11 tahun lagi, maka ini bukanlah lagi masa untuk golongan belia itu berasa takut untuk bangkit bersama atau belum bersiap sedia bahkan cetusan buah fikiran di mana apa jua cadangan, komen, ulasan dan pendapat yang bernas amat diperlukan sebagai kepentingan pendekatan Whole of Nation pada masa kini dan mendatang,” tekannya penuh harapan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda