Selepas tular dakwaan Rozita Che Wan tidak membayar hutang seorang kontraktor, sahabatnya iaitu usahawan Anas Zahrin membantu menyelesaikan hutang pelakon berkenaan.
Kontraktor dikenali sebagai BaNi Rahman itu mendedahkan Anas membantu membayarkan hutang sebanyak RM7,000 itu.
Kata BaNi, dia tidak menyangka Anas mahu melunaskan hutang yang dibuat oleh Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 51, dan menyifatkan usahawan itu sebagai sahabat sejati.
“Pagi tadi saya dapat mesej daripada salah seorang sahabat baik Rozita iaitu Anas. Syukur Alhamdulillah dia dah tolong selesaikan bayaran sebanyak RM7,000 kepada saya.
“Allahu betul tak sangka. Ini betul sahabat dunia akhirat. Tak pernah lagi jumpa sahabat macam ini. Bukan senang nak dapat sahabat baik macam ini sudi tolong waktu Rozita tengah susah, diam-diam pula tu tanpa pengetahuannya,” katanya.
BaNi berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Sabtu.
Dalam pada itu, BaNi turut mengucapkan terima kasih kepada Anas dan mendoakan agar perniagaan yang diusahakannya bertambah maju.
Menurut BaNi, wang yang diterima daripada Anas itu akan dibayar kepada pekerja dan selebihnya berniat untuk menyimpan bagi menunaikan ibadah umrah.
“Terima kasih banyak Anas sudi selesaikan bayaran ini. Moga tuan dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Moga perniagaan tuan bertambah maju. Amin ya Allah.
“Duit bayaran RM7,000 ini akan selesaikan hutang pekerja dan selebihnya insya-Allah saya akan gunakan untuk mengerjakan umrah. Memang dari dulu lagi teringin sangat nak pergi umrah. Moga Allah jemput saya ke sana,” ujarnya.
Tambah BaNi lagi, dia sudah pun memadam hantaran yang dibuat sebelum ini dan tidak menyangka perkongsiannya tentang hutang yang tidak dibayar oleh Rozita menjadi tular di media sosial.
“Maaf saya sudah padam hantaran sebelum ini mengenai Rozita. Tak ada niat nak viralkan hantaran itu dan tak tahu boleh jadi viral sampai beribu orang kongsikan di media sosial,” katanya.
Sebelum ini, BaNi mendakwa syarikat miliknya iaitu BANI Grass menerima upah untuk memasang rumput tiruan di kediaman pelakon berkenaan.
Bagaimanapun, selepas pihaknya melakukan kerja asas dan mahu memasang rumput tiruan, dia terkejut apabila Rozita mengupah syarikat lain untuk memasang rumput itu di kediamannya.
Pelakon drama Kiah Perkasam itu memberi alasan rumput tiruan itu ditaja oleh syarikat terbabit dan enggan membayar upah kerja-kerja yang dilakukan BaNi selama seminggu berulang alik dari Melaka. – Agensi