Pelakon Anzalna Nasir tidak pernah memaksa anak-anak lelakinya menjadi duta mana-mana produk semata-mata untuk menjana pendapatan.
Anzalna atau Nur Anzalna Md Nasir, 36, sebaliknya bersyukur apabila mereka sendiri dengan rela hati mahu menjalani penggambaran iklan.
“Berkerja dengan kanak-kanak tak selalunya mudah. Kita tak boleh paksa mereka demi duit.
“Kalau mereka tak nak, biarkan saja. Alhamdulillah, semalam Emirhan sendiri yang pilih untuk ikut kami buat photoshoot,” katanya menerusi hantaran di InstaStory.
Anzalna turut berkongsi video memperlihatkan aksi kedua-dua anaknya menjalani penggambaran untuk sebuah jenama pakaian.
Dalam pada itu, Anzalna memberitahu anak sulungnya iaitu Eidrees selesa beraksi di hadapan kamera memandangkan kanak-kanak itu sudah terbiasa menjalani penggambaran sejak berusia setahun.
Tambah pelakon itu, dia menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai memori zaman kanak-kanak yang bermakna buat anak-anaknya.
“Eidrees dah jadi duta jenama sejak umur setahun, jadi biasa dengan kamera. Emirhan pula baru nak mula tahun ini, jadi dia masih belajar.
“Gembira sebab semua ini kenangan waktu mereka kecil. Anak-anak saya suka sebab boleh main sambil photoshoot,” ujarnya.
Untuk rekod, Anzalna mendirikan rumah tangga bersama Hanif Zaki pada 2016 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Eidrees, 5, dan Mohamad Emirhan, 2 tahun. – Agensi