KUCHING, 2 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua buah bot nelayan Vietnam bersama 19 awak-awak dan tekong kerana menceroboh perairan negara dalam Operasi Permai pada Jumaat (29 September).
Pengarah Daerah Maritim Kuching, Kapten (M) Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata bot bersama awak-awak tersebut ditahan kira-kira 150 batu nautika dari Tanjong Po, dekat sini sebelum dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) Muara Tebas.
“Kira-kira 10:40 pagi, pasukan operasi telah mengesan dua buah bot tersebut sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dengan pukat tunda ganding.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seramai 19 orang awak-awak berserta tekong dari Vietnam berada di atas bot-bot tersebut. Semua mereka telah ditahan reman dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – Bernama