SAN FRANCISCO, 16 APRIL – Apple semalam mengumumkan dana berjumlah AS$200 juta untuk melabur dalam projek perhutanan komersial yang menghasilkan kayu balak, dengan matlamat untuk menghapus karbon daripada atmosfera sementara pada masa yang sama menjana keuntungan.
Dana Restore, dilancarkan dengan perkongsian bersama Conservation International dan Goldman Sachs, dijangka melaksanakan projek pertamanya pada akhir tahun ini.
“Alam semula jadi menyediakan beberapa kaedah terbaik untuk menghapus karbon dari atmosfera,” kata naib presiden alam sekitar, dasar dan inisiatif sosial Apple, Lisa Jackson dalam satu kenyataan.
“Menerusi dana yang menjana hasil pulangan serta impak karbon, kami berhasrat membawa perubahan lebih besar pada masa depan – menggalak pelaburan dalam pembuangan karbon di seluruh dunia.”
Hutan menyerap karbon dari udara, menyimpannya dan menghalang gas daripada menyumbang kepada perubahan iklim.
Dana itu bertujuan membuang satu juta metrik tan karbon dioksida setahun dari atmosfera, bersamaan dengan jumlah yang dikeluarkan oleh lebih 200,000 kenderaan.
Apple berkata pada tahun lalu ia akan menjadi neutral karbon pada 2030 untuk semua operasinya, termasuk pengeluaran.
Pengeluar iPhone itu berkata matlamatnya adalah mewujudkan impak iklim sifar untuk kesemua peranti yang dijualnya. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/04/PAGE-14-Lead-Apple_17042021.jpg)