RIYADH, 9 JULAI – Arab Saudi harus mengkaji semula matlamatnya untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mempertimbangkan untuk menerima sasaran yang perlu dicapai seawal 2030, kata Menteri Peralihan Tenaga Perancis kepada AFP di negara tersebut.
Agnes Pannier Runacher meninggalkan negara pengeksport minyak terbesar dunia pada awal pagi Ahad selepas bertemu dengan rakan sejawatnya di Arab Saudi dan ahli-ahli perniagaan Perancis dan Arab Saudi. Sasaran pengurangan pelepasan boleh menjadi lebih munasabah ‘apabila kita menetapkan objektif dalam tempoh yang singkat 2030-2035 dan oleh itu tidak menangguhkan isu ini sehingga tahun 2050’, kata Pannier-Runacher dalam temu bual kelmarin.
Arab Saudi berjanji pada 2021 untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2060.
Lawatan menteri Perancis itu diadakan ketika Emiriah Arab Bersatu bersedia untuk menjadi tuan rumah sidang kemuncak iklim COP28 bermula pada November, satu acara di mana negara jiran Arab Saudi boleh memainkan ‘peranan kepimpinan’, kata Pannier-Runacher.
Rundingan iklim tersebut merupakan ‘masa untuk menilai kedudukan masing-masing’, tambahnya. – AFP