Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arca bersejarah Rom kembali ke Turkiye

    COPENHAGEN, 27 NOV – Muzium Glyptotek di Denmark akan memulangkan arca kepala gangsa Maharaja Rom Septimius Severus kepada Turkiye, selepas lebih 50 tahun mempamerkannya, menurut kenyataan muzium itu semalam.

    Keputusan itu menamatkan pertikaian selama 18 bulan dengan Ankara, yang mendakwa arca itu adalah sebahagian daripada patung yang dirompak semasa penggalian arkeologi.

    “Glyptotek telah memutuskan untuk memenuhi permintaan Turkiye bagi memulangkan potret gangsa purba ini,” kata muzium tersebut dalam satu kenyataan.

    Patung Maharaja Septimius Severus, yang hidup antara tahun 145 hingga 211 Masihi, sebelum ini disimpan di Amerika Syarikat (AS) selama beberapa dekad sebagai sebahagian daripada koleksi peribadi yang dipinjamkan kepada Muzium Seni Metropolitan New York.
    Pada 2021, patung itu dikembalikan ke Turkiye tanpa kepala.

    Ankara mendakwa bahawa kepala patung berkenaan berada di Glyptotek, Copenhagen, dan telah dipamerkan di sana selama lebih lima dekad.

    Pada tahun 1979, seorang bekas kurator muzium menyatakan bahawa kepala gangsa itu, yang diperoleh pada 1970 tanpa maklumat jelas mengenai asal usulnya, dipercayai sepadan dengan patung tanpa kepala yang pernah berada di AS.

    Kedua-dua bahagian arca itu kemudian disatukan semula untuk sebuah pameran dan diperiksa oleh ahli arkeologi Turkiye, Jale Inan. Berdasarkan dapatan Inan, Kedutaan Turkiye di Copenhagen secara rasmi meminta Denmark pada Mei 2023 untuk memulangkan kepala patung tersebut, walaupun permintaan itu pada awalnya disambut dengan keraguan oleh pihak Glyptotek.

    “Saya tidak mengatakan bahawa kedua-duanya tidak berkaitan. Saya hanya berkata kami tidak pasti seperti yang berlaku pada 25 atau 30 tahun lalu,” kata Pengarah Koleksi Glyptotek, Rune Frederiksen, kepada AFP pada masa itu. – AFP

    Arca kepala gangsa Maharaja Rom dipamerkan di muzium Ny Carlsberg Glyptotek di Copenhagen pada 29 Jun 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda