SINGAPURA, 17 MAC – Armenian Street Party yang berlangsung hujung minggu lalu di Muzium Peranakan dan kawasan sekitarnya meraikan kepelbagaian warisan budaya tidak ketara komuniti Peranakan, merangkumi seni, budaya, fesyen dan kulinari.
Pengurus Muzium Peranakan (Audiens) Deborah Lim berkata festival tahunan anjuran muzium itu menghidupkan lebih banyak elemen budaya daripada sekadar pameran dalam galerinya, dengan persembahan muzik secara langsung, sesi penataan fesyen dan demonstrasi masakan.
Menurutnya, bagi setiap edisi festival, muzium itu bekerjasama erat de-ngan pelbagai komuniti dan rakan kongsi Peranakan di Singapura bagi mencipta pengalaman yang bermakna untuk semua pengunjung.
Bertemakan Peranakan Stars tahun ini, festival itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Peranakan Singapura (TPAS), Persatuan Peranakan India (PIA) dan Arab Network @ Singapore.
“Muzium Peranakan menyusun pelbagai program dan acara dengan rakan kongsi kami bagi memastikan ada sesuatu yang menarik untuk semua lapisan pengunjung. Kami mahu membawa mereka lebih dekat dengan komuniti ini serta memperluas pemahaman orang ramai mengenai warisan dan budaya Peranakan,” katanya kepada Bernama.
Lim berkata antara tarikan utama ialah pemasangan seni luar Enduring Blessings oleh artis visual tempatan, Ashley Yeo, yang akan dipamerkan di pintu masuk muzium sehingga 31 Mac. – Bernama
