Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arsenal ‘kurang tenaga’ menentang Palace

    LONDON, 24 APRIL – Mikel Arteta mengakui Arsenal perlu mendapatkan semula ‘tenaga’ mereka untuk pertembungan Liga Juara-Juara selepas keputusan seri 2-2 menentang Crystal Palace kelmarin.

    Pasukan Arteta berharap untuk bermain memanaskan badan sebelum bertemu Paris Saint-Germain namun pendahuluan The Gunners awal pada minit ketiga melalui tandukan Jakub Kiwior tidak kekal setelah voli Eberechi Eze menyamakan kedudukan pada minit ke-27.

    Jaringan Leandro Trossard kemudiannya meletakkan Arsenal kembali di hadapan tiga minit sebelum separuh masa, namun pemain gantian Palace, Jean-Philippe Mateta menumpaskan penjaga gol David Raya melalui sepakan lambung pada minit ke-83.

    Kini Arsenal di tempat kedua berada 12 mata di belakang Liverpool dan dengan hanya empat perlawanan lagi untuk pasukan Arne Slot akan melakar kejuaraan liga.

    Harapan untuk bersaing dalam liga telah tamat sejak beberapa minggu lalu, kini Arsenal fokus untuk memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama tetapi aksi hambar menentang Palace bukanlah persiapan yang ideal untuk pertembungan dengan juara Perancis PSG.

    “Kami kecewa dengan keputusan dan prestasi. Kami tidak menemui konsistensi yang mencukupi dalam aksi untuk menguasai permainan,” kata Arteta.

    Menambah kebimbangan Arteta ialah kecederaan Mikel Merino selain kecederaan Kai Havertz dan Gabriel Jesus.

    “Kami perlu tunggu dan lihat kerana mereka tidak dapat berada dalam skuad di sini,” kata ketika ditanya sama ada Merino dan pemain pertahanan Ben White akan cergas untuk menentang PSG.

    Tetapi Arteta akui adalah berguna untuk skuadnya yang dilanda kecederaan untuk berehat hampir seminggu sebelum berdepan anak buah Luis Enrique.

    “Kami mempunyai perlawanan paling penting musim ini dalam tempoh enam hari. Kami perlu mendapatkan semula tenaga kami,” ujar Arteta. – AFP

    Reaksi Martin Odegaard semasa menentang Crystal Palace di stadium Emirates, London, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda