Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ARSOM bantu OKU baca Al-Quran

    NILAI, 19 Jun – Usaha seorang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghasilkan e-pembelajaran melalui aplikasi yang dinamakan ARSOM bagi memudahkan Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu membaca Al-Quran, mendapat pengiktirafan apabila meraih pingat emas dalam Ekspo Inovasi Islam (i-INOVA’ 2018) di sini baru-baru ini.

    Penyelidik muda dari Fakulti Sains dan Teknologi, Mohd Aqil Irwan Abdul Mutalib berkata ARSOM merupakan aplikasi Android direka khusus untuk golongan tersebut mengenal huruf hijaiyah dalam bahasa isyarat (bahasa isyarat Arab).

    Beliau berkata, idea tersebut tercetus apabila beliau memahami kesusahan yang dihadapi golongan tersebut dalam mempelajari setiap kandungan dalam al-Quran.

    “Ia bermula ketika peringkat awal kajian dalam proses mengumpul maklumat melalui sesi temu bual bersama guru-guru di Akademi FAQEH, saya sempat berkomunikasi dengan seorang daripada guru yang juga merupakan komuniti pekak.

    “Ketika itu saya sedar seandainya diri ini seorang yang pekak, amat susah untuk berkomunikasi dan belajar, tambahan belajar membaca al-Quran maka terhasillah idea ini. Saya peka terhadap kesukaran yang dihadapi oleh komuniti pekak dan bisu untuk belajar membaca Al-Quran,” katanya kepada Bernama di sini.

    Mohd Aqil Irwan berkata ARSOM berfungsi memaparkan bahasa isyarat pergerakan tangan berbentuk model 3D melalui imbasan kad abjad huruf Hijaiyah menerusi telefon pintar dan membolehkan pengguna meniru pergerakan yang dipaparkan.

    “Bagaimanapun, penghasilan setiap huruf hijaiyah perlu dibuat secara teliti kerana setiap abjad memerlukan perbezaan yang terperinci supaya boleh menghasilkan suasana ‘Augmented Reality’ yang tepat bagi setiap huruf hijaiyah,” katanya.

    Yakin bahawa aplikasi itu boleh diterima komuniti pekak dan bisu, Mohd Aqil Irwan berharap ARSOM juga mampu memberi manfaat kepada masyarakat normal dengan turut sama belajar bahasa isyarat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda