Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS juara Liga Negara-negara CONCACAF

    DALLAS, 25 MAC – Gio Reyna dan Tyler Adams menjaringkan gol ketika Amerika Syarikat (AS) menewaskan Mexico 2-0 dalam perlawanan akhir Liga Negara-negara CONCACAF kelmarin, memberikan Amerika gelaran ketiga dalam sejarah acara itu.

    Adams menjaringkan jaringan jarak jauh pada minit ke-45 dan Reyna merembat bola dari tepi kotak penalti pada minit ke-63 untuk AS, yang turut menjuarai kejohanan itu pada 2021 dan 2023.

    “Sememangnya indah untuk mendapatkan gelaran untuk negara awda. Saya tidak akan sia-siakannya.

    “Dengan pasukan dan semangat yang kami ada, saya sentiasa suka datang ke kem latihan. Saya hilang kata-kata sekarang,” kata Reyna.

    AS mendahului pada minit ke-45 apabila Adams yang tidak dikawal menerima hantaran dari Wes McKennie dan terus merembat dengan kaki kanan pada jarak 30 ela tanpa memberikan peluang kepada penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa.

    Sebelum itu, Mexico menekan AS dengan prestasi fizikal, menutup ruang untuk membuat hantaran dan berjaya mengawal serangan AS pada separuh masa pertama.

    Kapten AS, Christian Pulisic hanya mendapat 15 sentuhan bola pada separuh masa pertama kerana sebahagian besar pergerakannya dikawal dan dihalang oleh pertahanan Mexico yang agresif.

    Mexico kelihatan masih berpeluang pada minit ke-73 apabila sepakan penalti diberikan setelah pertahanan AS, Antonee Robinson mengasari Santiago Gimenez tetapi semakan video membatalkan keputusan itu.

    Gol kemenangan Reyna terhasil apabila Pulisic merembat bola dari kanan ke depan kawasan gawang sebelum melantun keluar setelah terkena pertahanan Mexico lalu jatuh ke arah Reyna, yang kemudiannya terus merembat ke dalam jaring. – AFP

    Amerika Syarikat meraikan kemenangan selaku juara Liga Negara-negara CONCACAF di stadium AT&T, Texas, kelmarin.- AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda