Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS kenakan sekatan baharu ke atas China

    WASHINGTON, 17 DIS – Amerika Syarikat (AS) melancarkan sejumlah lagi sekatan semalam, bagi mengecam layanan China terhadap etnik minoriti Uighur.

    Ia menyaksikan Ahli Parlimen AS mengundi untuk mengekang perdagangan dan mengenakan sekatan baharu ke atas pembuat dron pengguna utama di dunia dari negara itu.

    Malah sehari sebelum itu, pentadbiran Presiden Joe Biden menyasarkan tindakan ke atas pengeluar ubat tahan sakit yang didakwa menyumbang kepada krisis ketagihan di negara ini.

    Ia seiring langkah AS untuk terus meningkatkan tekanan ke atas China ketika pelbagai pertikaian terus berlarutan antara kedua-dua pihak.

    Ahli Senat sebulat suara mengundi untuk menjadikan AS negara pertama mengharamkan hampir kesemua import dari wilayah Xinjiang di barat laut China, susulan kebimbangan akan penggunaan buruh paksa.

    Akta itu melarang pengimportan semua barangan dari wilayah berkenaan, kecuali syarikat terbabit memberikan bukti yang dapat disahkan bahawa pengeluarannya tidak membabitkan perhambaan.

    Xinjiang adalah sumber utama bekalan kain kapas, dengan anggaran 20 peratus pakaian diimport ke AS setiap tahun meliputi sebahagian bahan dari wilayah itu.

    Antara syarikat dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan ialah SZ DJI Technology yang juga pengeluar terbesar di dunia untuk dron pengguna yang banyak digunakan dalam pembuatan filem dan fotografi di udara.

    Menurut Jabatan Perbendaharaan lagi, syarikat lain yang turut disasarkan ialah Xiamen Meiya Pico Information.

    Katanya, syarikat itu didakwa membangunkan aplikasi mudah alih untuk menjejaki fail dalam telefon individu, serta Teknologi Cloudwalk bagi mengenal pasti wajah etnik Uighur dan Tibet. – AFP

    Gambar fail menunjukkan Presiden Joe Biden semasa beliau bercakap dengan Presiden China Xi Jinping dari Bilik Roosevelt, Rumah Putih di Washington. AS mengumumkan ia mengenakan sekatan baharu ke atas beberapa syarikat China yang beroperasi di wilayah Xinjiang. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda