KUALA LUMPUR, 30 OKT – Aliran wang daripada terbitan bon AS$3 bilion yang kononnya untuk pembangunan The Exchange TRX telah dialihkan ke akaun bank milik bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar kes 1MDB Najib itu berkata perkara terbabit dinyatakan dalam keterangan saksi pendakwaan ke-47 (SP47) iaitu penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan.
Hakim itu berkata pada 12 Mac 2013, tertuduh menghadiri majlis menandatangani usaha sama antara 1MDB dengan Aabar Investment PJS berjumlah AS$6 bilion yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri.
“Bukti pendakwaan menunjukkan bahawa pada 14 Mac 2013, tertuduh menandatangani surat sokongan (LOS) untuk mendapatkan pinjaman melalui terbitan bon oleh 1MDB sebanyak AS$3 bilion. Pada 19 Mac 2013, pembayaran dibuat segera oleh bank New York Mellon Group ke akaun 1Malaysia Development Berhad Global Investment Limited’s (1MDBGIL).
“Bukti mengenai kepantasan transaksi kutipan dana itu diberi SP26 (bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Siti Zauyah Mohd Desa), SP42 (bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC Datuk Suboh Md Yassin), SP9 (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi) dan SP10 (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman),” katanya dalam penghakiman ringkas setebal 41 muka surat.
Hakim Sequerah berkata walaupun pihak pembelaan mendakwa terdapat penglibatan pihak lain dalam proses membuat keputusan, tertuduhlah yang telah bertindak dalam pelbagai kapasiti, iaitu pada peringkat 1MDB sebagai pemegang saham tunggal, peringkat Kementerian Kewangan (MOF) dan peringkat Kabinet.
“Oleh itu, tertuduh merupakan pembuat keputusan muktamad. Beliau juga dilihat tidak mengambil tindakan membuat sebarang laporan polis berhubung dakwaan penglibatan pihak lain.
“Pertimbangan terhadap semua bukti berkenaan menunjukkan bahawa tertuduh telah mengambil tindakan sedemikian dalam perkara yang beliau mempunyai kepentingan, yang merupakan fakta asas diperlukan untuk menimbulkan anggapan di bawah Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dengan pertuduhan ketiga,” katanya.
“Mahkamah juga mendapati bahawa saksi-saksi ini tidak mempunyai motif untuk memberi keterangan dan membuat tuduhan palsu terhadap tertuduh yang ketika itu memegang kuasa besar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.”
Terdahulu, Hakim Sequerah mengarahkan Najib, 71, untuk membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kesemua 25 pertuduhan pada akhir kes pendakwaan. – Bernama