HOUSTON, 27 APRIL – Asa Hutchinson, bekas gabenor negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS), secara rasmi melancarkan bidaannya kelmarin untuk menjadi calon presiden Parti Republikan 2024.
“Hari ini, saya mengumumkan bahawa saya adalah calon presiden Amerika Syarikat,” kata Hutchinson kepada penyokong di Bentonville, Arkansas, tempat kelahirannya, sehari selepas Presiden Joe Biden me-ngumumkan beliau akan bertanding untuk penggal kedua, lapor Xinhua.
Hutchinson, 72, juga bekas ahli kongres, pentadbir Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) dan pegawai keselamatan sempadan, adalah anggota Republikan kelima mengumumkan pencalonan bagi jawatan presiden, dengan angka calon dijangka meningkat apabila musim kempen mula hangat.
“Daripada Kongres kepada DEA kepada Keselamatan Dalam Negeri, saya telah berkhidmat kepada negara kita semasa krisis. Sebagai Gabenor Arkansas, kami mengurangkan cukai dan merekodkan lebihan. Kami meningkatkan gaji guru. Kami mengurangkan peraturan, industri merekrut pekerja dan sektor swasta menambah lebih 100,000 pekerjaan,” katanya.
Hutchinson mendakwa beliau mengetahui cara untuk mengimbangi belanjawan dan tidak mahu perang tidak berkesudahan di Ukraine. – Bernama
