Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Pencapaian para pelajar yang cemerlang dalam Pertandingan Bee-Bot dan Micro:Bit bagi Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana diraikan dalam majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan berkenaan ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sarjana, Dr Mary Lim.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengurus Digital Capacity Outreach & LBD, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Awang Mohd Zul Hilmi Zaini; Penolong Pengurus, Digital Capacity Outreach, AITI, Awang Tajul Ariffin bin Haji Ali Hassan; pengarah-pengarah Indah Sejahtera Development & Services Sdn Bhd (ISDS), Haji Mohammed bin DSP Haji Talib dan Haji Talipuddin bin DSP Haji Talib, ibu bapa, guru-guru serta pelajar-pelajar yang diraikan.
Pertandingan berkenaan dikendalikan oleh Indah Sejahtera Development & Services Sdn Bhd, yang merupakan sebuah syarikat perkhidmatan IT tempatan, dengan kerjasama pihak sekolah. Ia merupakan sebuah inisiatif oleh AITI bertajuk Coding with Smart Devices, dalam menyokong pembangunan pengekodan dan kemahiran pemikiran komputasional menerusi pembelajaran praktikal dan menyeronokkan bagi para pelajar dengan bantuan peranti pintar pendidikan iaitu Bee-Bot dan micro:bit.
Dalam kata alu-aluannya, Pengetua Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana, Chong Wee Meng menyatakan bahawa sekolahnya amat komited kepada pembelajaran digital di mana pengekodan dan pengaturcaraan merupakan sebahagian daripada program ICT sekolah sejak lima tahun dahulu.
Beliau menerangkan bahawa pembelajaran digital dirangka untuk menyokong dan membangunkan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan pelajar di mana di bawahnya terdapat lima inisiatif iaitu bring your own device (BYOD), sistem pengurusan pembelajaran, penilaian digital, pedagogi abad ke-21 dan kewarganegaraan digital. Beliau menyatakan harapan untuk terus melibatkan dan menggalakkan para pelajarnya untuk mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan seumpamanya dengan matlamat untuk mengukuhkan lagi pembelajaran digital mereka.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang disempurnakan oleh Dr Mary Lim. Bagi pertandingan Bee-bot’s Treasure Hunt Adventure, tempat pertama dimenangi oleh Dayang Laila Nur binti Mahmud Shauqi, Abderrahmane Djeghim dan Jax Chia Cheng Shen, tempat kedua dimenangi oleh Awang Ayman Daniyal bin Aldanny Suffian, Kacey Merlin Jerry dan Jaslyn Chin Jia Ming manakala itu, tempat ketiga dimenangi oleh Jayden Chin Jia Sheng, Beryl Tan Bei Le dan Awang Arman Anaqi bin Mohammad Denny Zahril.
Bagi projek Micro:bit, tempat pertama dimenangi oleh Manisha Sreejith, Awang Muhammad Aiman Azzaky bin Mas Ridzwan, Preeth Lalwani, Dayang Adriana Daniellya Azzahra binti Amir Hazrin.
Tempat kedua dimenangi oleh Krissa Elizabeth Jerry, Awang Muhammad Adam Darweesh bin Didi Hamdillah dan Riya Mary Varghese manakala itu, tempat ketiga dimenangi oleh Caleb Marshal Chuat, Awang Muhammad Azizullah Pasha bin Zakaria, Alexis Hummer Benemerito Cheong dan Rita Soesin Naing.