Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Atlanta United kejutkan Inter Miami

    LOS ANGELES, 3 NOV – Atlanta United mencatat kemenangan dramatik 2-1 dalam perlawanan playoff menentang Inter Miami kelmarin, memusnahkan harapan Lionel Messi untuk membawa kelab Florida itu menjulang Piala MLS.

    Pemain sayap Portugal, Xande Silva menjaringkan gol kemenangan sensasi buat Atlanta pada minit keempat masa kecederaan di hadapan 68,455 penyokong tuan rumah di Stadium Mercedes-Benz, sekali gus menyamakan kedudukan terbaik dalam tiga perlawanan siri pasca musim 1-1 dan membuka peluang bagi perlawanan penentu di Miami Sabtu depan.

    Pilihan utama Miami, yang menang 2-1 dalam perlawanan pertama minggu lalu, nampaknya akan meraih kemenangan bersiri setelah mendahului saingan menerusi jaringan pemain antarabangsa Paraguay, David Martinez pada minit ke-40 selepas kesilapan besar oleh bekas penjaga gol AS, Brad Guzan.

    Guzan hanya mampu menyaksikan de-ngan cemas selepas dia melakukan kesilapan, gagal mengeluarkan bola secara rutin dari kawasan penaltinya, yang membolehkan Federico Redondo menguasai bola dan menghantar umpan kepada Martinez yang dengan mudah merembat gol ke dalam gawang kosong untuk menjadikan kedudukan 1-0.

    Namun, Atlanta melancarkan serangan habis-habisan pada separuh masa kedua dalam usaha untuk menyelamatkan musim mereka, dan usaha itu membuahkan hasil apabila Derrick Williams menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan padu pada minit ke-58.

    Permainan yang sengit menyaksikan kedua-dua pasukan mencipta peluang selepas itu, dan pemain antarabangsa Georgia, Saba Lobjanidze, hampir menjaringkan gol buat Atlanta pada minit ke-89, namun percubaannya ditepis ke tiang gol oleh penjaga gol Miami, Drake Callender.

    Perlawanan itu kelihatan akan berakhir dengan penentuan sepakan penalti apabila Atlanta melancarkan serangan saat-saat terakhir ke gawang Miami, dan apabila Aleksey Miranchuk menghantar bola kepada Silva, pemain gantian dari Portugal itu tidak mensia-siakan peluang dan menjaringkan gol kemenangan ke penjuru atas gawang. – AFP

    Aksi Daniel Rios (kanan) semasa perlawanan bola sepak MLS di Atlanta pada 2 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda