Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Seramai empat atlet olahraga muda Negara Brunei Darussalam telah pulang ke tanah air selepas bertanding dalam Kejohanan Olahraga Asia Tenggara Bawah 18 Tahun ke-16 2024 yang berlangsung pada 28 hingga 30 November lalu di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.
Hadir bagi menyambut ketibaan pasukan negara di Ruang Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, dan seterusnya memberikan ucapan tahniah ialah Setiausaha Agung Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam, Mejar Nabil Suhairridhwan bin Awang.
Pasukan negara telah meraih satu pingat gangsa melalui Abdullah Abbas dalam acara 3000m dengan catatan masa 9:34.11s sekali gus memecah rekod kebangsaan, 9:41.92s, yang dicatatkan oleh atlet tersebut sendiri semasa Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN di Kota Da Nang, Vietnam pada bulan Jun lalu.