Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia, Kanada saring pelancong China

    BEIJING, 1 JAN – Australia dan Kanada menyertai senarai negara-negara yang mewajibkan pengembara dari China untuk menjalani ujian COVID sebelum menaiki pesawat, selepas China bergelut dengan penularan koronavirus di seluruh negara susulan pemansuhan sekatan secara mengejut.

    Pihak berkuasa kesihatan Australia hari ini berkata bermula 5 Januari, semua pengembara dari tanah besar China, Hong Kong atau Macau yang membuat perjalanan melalui udara mesti menunjukkan keputusan negatif ujian COVID dalam tempoh dua hari sebelum mereka membuat perjalanan.

    Sementara itu, pihak berkuasa Kanada turut mengumumkan tindakan serupa yang akan berkuat kuasa mulai 5 Januari dalam satu kenyataan kelmarin.

    Australia dan Kanada akan menyertai negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), India, Jepun dan beberapa buah negara Eropah untuk mengenakan langkah tegas COVID ke atas pengembara China di tengah-tengah kebimbangan mengenai kekurangan data jangkitan di China dan kerisauan tentang kemungkinan penularan varian baharu.

    China, yang melaksanakan strategi ‘Sifar COVID’ tegas sebahagian besar tempoh pandemik yang bertujuan untuk membendung penularan virus, telah memansuhkan langkah-langkah tersebut secara mengejut pada Disember. Pihak berkuasa China sebelum ini berkata bahawa bermula 8 Januari, pengembara luar negara tidak lagi memerlukan untuk menjalani kuarantin sebaik tiba di China, membolehkan penduduk China untuk membuat perjalanan keluar.

    Hong Kong turut bersedia untuk perjalanan bebas kuarantin bersama China, dengan rancangan untuk menyambung semula operasi pemeriksaan sempadan pada 8 Januari, menurut Ketua Setiausaha Hong Kong, Eric Chan melalui Facebook.

    Walau bagaimanapun, jumlah kuota perjalanan akan dikekalkan antara kedua-dua tempat berkenaan.

    “Tertakluk kepada keadaan semasa fasa pertama, kami akan secara perlahan-lahan melonggarkan sekatan sebelum membuka sempadan secara keseluruhan,” kata Chan.- AP

    Seorang budak memakai pelitup muka berdiri berhampiran perhiasan lampu di sebuah gedung membeli-belah di Beijing. Australia dan Kanada menyertai senarai negara-negara yang mewajibkan pengembara dari China untuk menjalani ujian COVID sebelum menaiki pesawat.- AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda