Pelakon dan pengacara, Awal Ashaari berkongsi pengalaman menjaga dua orang cahaya matanya ketika bercuti ke luar negara tanpa kehadiran pembantu.
Awal atau Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, berkata, kehidupan tanpa pembantu banyak mengajar dia tentang kesabaran, malah dapat lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga tercinta.
“Melancong tanpa pembantu banyak mengajar saya tentang kesabaran dan mendekatkan saya dengan anak-anak.
“Waktu inilah baru tahu perangai anak-anak kita, macam mana nak jaga mood mereka, nak pastikan semua terjaga dan paling penting, beri keutamaan pada mereka,” katanya.
Awal berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Awal menjelaskan dia bukannya merungut, tetapi bersyukur kerana dapat lebih rapat dengan anak-anaknya iaitu Lara Alana, 8, dan Lila Amina, 1.
Kata Awal, jika ikutkan hati, banyak lagi tempat yang ingin dilawati, tetapi mengenangkan anak-anak yang masih kecil, dia terpaksa akur dengan situasi berkenaan.
“Kalau ikutkan banyak tempat nak explore, banyak restoran nak singgah, nak jumpa kawan-kawan dan keluar malam, tetapi kami tidak boleh lakukan pada trip kali ini.” – Agensi