Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Axelsen, Lin Dan teruskan kemaraan

    KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pemain bukan pilihan Khosit Phetpradab dari Thailand untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2018.

    Dalam aksi sengit itu, Axelsen mengambil masa 58 minit untuk mengatasi Phetpradab, 21-17, 18-21, 21-13 pada perlawanan pembukaan acara perseorangan lelaki yang berlangsung di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil di sini hari ini. Juara dunia itu dijadual bertemu seorang lagi pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk di pusingan kedua Khamis ini. Saensomboonsuk mudah mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan Anders Antonsen dari Denmark 21-14, 21-15.

    “Pusingan pertama sentiasa sengit, pada set kedua saya berasa lebih tertekan. Saya akan berdepan seorang lagi pemain Thailand, dan adalah sukar apabila berdepan kebanyakan daripada mereka (pemain Thailand) kerana mereka bagus ketika melakukan serangan.

    “Saya dapat merasakan aksi seterusnya akan menjadi sengit. Saya mempunyai satu hari rehat dan berharap dapat mempamerkan permainan terbaik pada Khamis ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

    Sementara itu, juara bertahan dari China, Lin Dan turut menempah slot ke pusingan kedua selepas mencatat kemenangan mudah ke atas Vincent Wong dari Hong Kong, namun rakan senegaranya Chen Long tersingkir daripada kejohanan berkenaan selepas tumpas kepada Kantaphon Wangcharoen dari Thailand. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda