Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah memperkenankan bagi Kementerian Kesihatan untuk mengemaskini dasar caj perkhidmatan yang sedia ada bagi Penduduk Tetap yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan (stateless) untuk diberikan kemudahan perkhidmatan kesihatan sebagaimana yang diberikan kepada Warganegara Brunei Darussalam.
“Berkaitan dengan ekonomi pula, usaha kita ke arah mempelbagaikan ekonomi juga sudah mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK, telah menunjukkan kemajuan yang ketara dari segi purata pertumbuhan sepanjang tempoh tahun 2017 sehingga 2023 iaitu sebanyak 4.3 peratus setahun.”
“Peningkatan ini telah menyumbang kepada peningkatan eksport barangan negara termasuk pengeksportan produk-produk baharu dan juga penembusan ke pasaran baharu seperti ke Chile, Mozambique, Colombia, Peru dan Mexico.
“Antara kemajuan yang dimaksudkan adalah di Sektor Hiliran Minyak dan Gas yang telah mengalami peningkatan yang luar biasa dengan jumlah sumbangan KDNK pada harga tetap meningkat kepada BND136 juta pada tahun 2017 kepada BND1,241 juta pada tahun 2023.”
Titah Baginda Sultan semasa Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam bagi Tahun 2025 di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Baginda Sultan bertitah bahawa apa yang jelas ialah penubuhan industri petrokimia telah menghasilkan produk seperti petroleum, metanol dan urea telah menjadi pemacu utama. Selain itu, Sektor Perkhidmatan juga mencatatkan peningkatan iaitu daripada BND1,485 juta pada tahun 2017 kepada BND1,721 juta pada tahun 2023 dengan purata peningkatan tahunan sebanyak 2.5 peratus yang disumbangkan oleh aktiviti-aktiviti perdagangan dan perkhidmatan perniagaan.
Kerajaan akan terus memacu pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti perekonomian baharu seperti pengeluaran petroleum intermediate derivatives yang akan menjana aktiviti tambahan dalam sektor hiliran minyak dan gas, menjadikan negara sebagai hab bagi sektor kimia, pembuatan dan makanan dan menerokai aktiviti peralihan tenaga ke arah persekitaran yang mampan, titah Baginda lagi.
“Di samping itu, di peringkat mikro pula, Kerajaan Beta akan terus berusaha dalam menggerakkan lebih banyak lagi aktiviti perekonomian dan pelancongan ke negara ini yang dapat mendatangkan kesan limpahan positif kepada peniaga-peniaga tempatan.”
“Namun demikian, kita tidak boleh berpuas hati, ekonomi kita masih sahaja bergantung pada minyak dan gas, maka kita perlu terus melakukan transformasi dalam meningkatkan produktiviti dan hasil negara merentasi sektor-sektor seperti pertanian, pengangkutan, pendidikan, kesihatan, pelancongan, keselamatan dan perkhidmatan awam serta industri-industri baharu dengan mengambil kira kepesatan teknologi.”
“Menyentuh tentang revolusi teknologi, khususnya kecerdasan buatan atau artificial intelligence, ianya membuka peluang baharu yang memerlukan kita untuk terus memperkasa sumber manusia dan keupayaan negara.”
Terdahulu dalam titah Baginda, Baginda Sultan sukacita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen yang telah ditunjukkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat yang dilantik dalam usaha memajukan agenda pembangunan negara melalui sesi dialog, muzakarah dan lawatan kerja sebagai wadah penting bagi perkongsian pandangan antara pihak kerajaan dan rakyat di negara ini.
Baginda bertitah adalah jelas peranan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara untuk membahaskan perkara-perkara utama termasuk memberikan maklum balas terhadap setiap dasar kerajaan supaya benar-benar menghasilkan impak positif terhadap kesejahteraan rakyat.
“Kerana itu, integriti dan kewibawaan setiap ahli adalah diukur pada kemampuan masing-masing untuk berfikir secara terbuka, berunding secara teratur dan bertindak proaktif demi kepentingan negara.”
“Melihat akan perkara ini, maka Beta telah memperkenankan bagi perubahan terhadap kekerapan Persidangan Majlis ini iaitu kepada dua kali setahun bermula pada tahun ini. Ini termasuk pengemaskinian ke atas prosedur dan proses kerja menurut Peraturan Majlis Mesyuarat (Standing Orders) bagi setiap ahli untuk mempraktikkan sepenuhnya.”
“Dalam perkara berkaitan, Beta juga melihat akan keperluan bagi penggubalan Kod Etika Ahli-Ahli Majlis dalam melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan berintegriti tinggi.”
“Perubahan-perubahan ini akan mengukuhkan lagi keberkesanan persidangan majlis melalui perbincangan yang lebih teratur, fokus dan berkesinambungan serta mencerminkan kematangan dan profesionalisme ahli-ahli Yang Berhormat yang bekerjasama dengan Kerajaan menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.”
Baginda Sultan bertitah, “Apa yang pasti, perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035, memerlukan kerjasama, inovasi dan semangat juang yang tinggi dari semua pihak. Oleh yang demikian, setiap cadangan dan idea yang dikemukakan di dewan ini adalah bernilai untuk diteliti dengan mengambil kira emerging issues di peringkat global untuk diambil tindakan oleh pihak-pihak berkepentingan mengikut kesesuaiannya.”
“Sejajar dengan ini, Beta sentiasa mengharapkan agar persidangan majlis ini akan terus berunding dengan jujur, berfikiran kreatif dan bertindak strategik ke arah meraih masa depan gemilang negara kita.”