Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bahan salutan geopolimer kali pertama diuji di makmal antarabangsa

    KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta sejarah tersendiri apabila menjalankan pengujian bahan salutan geopolimer di makmal antarabangsa Rutherford Appleton Laboratory (RAL), United Kingdom.

    Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata ia merupakan kali pertama bahan berasaskan geopolimer diuji di kemudahan bertaraf antarabangsa, yang sebelum ini lebih tertumpu kepada bahan logam dan aloi.

    “Pengujian ini menggunakan Engin-X daripada peralatan ISIS Neutron and Muon Source (ISIS), iaitu garis pancaran khas menggunakan pembelauan neutron bagi mengkaji sifat kejuruteraan bahan hasil ciptaan saintis Dr Tung Lik Lee.

    “Ia satu pencapaian penting dalam memperkukuh pemahaman terhadap bahan geopolimer khususnya dalam aplikasi industri,” katanya dalam kenyataannya baru-baru ini.

    Mohd Mustafa berkata kejayaan pengujian itu adalah hasil penyelidikan bersama Prof Madya Dr Rafiza Abdul Razak dari UniMAP sekali gus menyumbang kepada pencapaian penyelidikan dan inovasi Malaysia di peringkat global.

    “Kami amat bersyukur kerana berjaya melaksanakan pengujian ini, yang memberikan pemahaman lebih mendalam tentang sifat bahan geopolimer sebelum diaplikasikan dalam industri,” katanya.

    Beliau berkata program itu adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Majlis Kemudahan Sains dan Teknologi (STFC), United Kingdom, di bawah Dana Perkongsian Sains Antarabangsa (ISPF).

    Mohd Mustafa turut merakamkan penghargaan kepada KPT dan STFC atas sokongan terhadap penyelidikan tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada saintis Malaysia untuk meneroka teknologi bertaraf antarabangsa.

    “Saya harap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kajian dan inovasi dalam usaha membawa teknologi bahan termaju Malaysia ke persada dunia,” katanya. – Bernama

    Mohd Mustafa (kiri) bersama penyelidik-penyelidik UniMAP di RAL London. – GAMBAR DARI FACEBOOK UNIMAP
    Prof Madya Dr Rafiza bersama pelajar sedang menyediakan sampel untuk pengujian Engin-X. – Utusan My

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda