TAWAU, 21 Jun – Jalan berlubang, berlopak, tidak sekata dan mendap serta tiada lampu jalan adalah pemandangan biasa di jalan-jalan kawasan luar bandar khususnya di kawasan pantai timur Sabah.
Pengguna jalan raya di kawasan berkenaan sudah lali dengan keadaan itu, namun berharap pentadbiran baharu kerajaan negeri akan menitikberatkan soal infrastruktur asas seperti jalan raya di luar bandar yang perlu diselenggara atau dinaik taraf.
Ibrahim Tabir, 40, yang berasal dari Kampung Simpang 4, Kunak berkata jalan raya rosak serta ketiadaan lampu jalan boleh menjadi punca kepada kemalangan.
“Kami harap kerajaan baharu dapat mengambil pendekatan perlu untuk membaiki jalan-jalan rosak misalnya di Jalan Persekutuan (di Kunak) yang telah lama mendap dan ketiadaan lampu jalan. Jalan ini merupakan antara laluan utama pengguna dari Kota Kinabalu untuk singgah ke Kunak, Semporna atau Tawau,” katanya.
Bagi Mahmuda Rizki, 28, jalan Sapulut-Kalabakan yang tidak memiliki lampu jalan membahayakan pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam berikutan jarak penglihatan yang terbatas.
“Ditambah lagi jalan banyak yang rosak, ini semua mengundang kepada bahaya kemalangan.
“Jika terpaksa melalui jalan berlopak seumpama kolam mini, kalau tidak kemalangan, kereta atau motosikal pula perlu masuk ‘hospital’ untuk diservis,” katanya sambil berharap kerajaan baharu mendengar keluhan rakyat.
Saadiah Hussin, 35 pula berkata diharapkan kerajaan baharu dapat membaik pulih jalan raya rosak, memasang lampu jalan demi keselesaan serta keselamatan rakyat.
“Dari aspek infrastruktur jalan raya, Sabah masih jauh ketinggalan berbanding di negeri lain,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony ketika ditemui Bernama berkata kementeriannya memantau perkara itu dan ketika ini banyak jalan sedang diselenggara dan projek Lebuh Raya Pan Borneo dalam pelaksanaan.
“Jalan-jalan rosak ini kita minta syarikat yang diberi kontrak untuk menyelia jalan terlibat,” katanya dan turut tidak menafikan terdapat jalan yang tidak diselia oleh kontraktor.
Katanya pihak kementerian akan meneliti dari segi undang-undang melibatkan kontraktor tersebut yang gagal menjalankan tugasan selenggara,
Peter mengakui banyak jalan tidak mempunyai lampu jalan dan ada yang tidak diselenggara dengan baik dan menurutnya pihak kementerian akan memperkenalkan sistem baharu bagi mengatasi masalah itu. – Bernama