Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Bakal jemaah haji tiga buah kementerian diraikan

    Oleh Ak Zaki Kasharan, Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Ak Zaki Kasharan, Muiz Matdani & Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Bagi memohon keberkatan dan keselamatan pegawai dan kakitangan yang akan menunaikan ibadah haji, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) secara berasingan telah mengadakan majlis Doa Selamat dan penyampaian sumbangan.

    Majlis Doa Selamat bagi bakal jemaah haji warga KHEU telah diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, KHEU dihadiri oleh tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Seramai 16 warga kementerian terdiri daripada sembilan orang dari Jabatan Pengajian Islam, dua dari Pusat Dakwah Islamiah, seorang dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, tiga dari Jabatan Urusan Haji dan seorang dari Pejabat Hal Ehwal Ugama Temburong akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

    Sementara itu, empat orang bakal jemaah haji yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JPM telah diraikan pada majlis yang berlangsung di JPM.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang turut menyampaikan sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji.

    Turut hadir ialah timbalan-timbalan menteri, setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di JPM serta pegawai-pegawai kanan JPM.

    MOFE turut mengadakan majlis Doa Selamat dan penyampaian sumbangan kepada bakal jemaah haji yang diserikan dengan ceramah khas di Dewan Teater, Bangunan MOFE.

    Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyampaikan sumbangan ialah Pemangku Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

    Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; Setiausaha Tetap (Dasar dan Fiskal), Hajah Norliah binti Haji Kula, pengarah urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan MOFE dan jabatan-jabatan di bawahnya serta warga Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan BDCB.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menghadiri majlis meraikan bakal jemaah haji KHEU.
    Yang Berhormat Menteri di JPM semasa menyampaikan sumbangan kepada salah seorang bakal jemaah haji.
    Haji Khairuddin menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
    Haji Khairuddin dan Pengiran Hajah Zety Sufina bersama warga MOFE mendengarkan ceramah khas pada majlis tersebut.
    Warga KHEU menadah tangan mendoakan bakal jemaah haji.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...