SEOUL, KOREA SELATAN, 20 MAC – Bakal presiden Korea Selatan berkata hari ini, beliau akan meninggalkan istana presiden Rumah Biru di tepi gunung dan menubuhkan pejabatnya di kawasan Kementerian Pertahanan di tengah Seoul untuk mewujudkan komunikasi lebih baik bersama orang awam.
Rancangan itu mencetuskan reaksi hebat daripada pengkritik mengenai pelan penempatan semula itu, yang memberi amaran perpindahan pejabat kerajaan akan menjejaskan keselamatan negara Korea Selatan, memerlukan perbelanjaan besar dan melanggar hak penghuni kediaman di kawasan pejabat presiden baharu.
Perpindahan pejabat presiden itu adalah salah satu janji utama dalam kempen presiden dipilih Yoon Suk Yeol.
Bekas pendakwa raya konservatif yang akan memulakan penggal lima tahunnya pada 10 Mei berkata lokasi dan reka bentuk Rumah Biru berdepan kritikan yang mana para pemimpin Korea Selatan telah terputus daripada orang awam dan menggunakan kuasa berlebih-lebihan.
Di kawasan Rumah Biru, pejabat-pejabat bagi penasihat presiden dan bilik media bukan dalam bangunan sama di tempat presiden bekerja dan jauhnya pula ratusan meter.
Beberapa bekas pegawai berkata mereka kadangkala menggunakan basikal atau kereta untuk mengunjungi presiden.
Yoon memberitahu sidang berita hari ini bahawa beliau memilih kawasan Kementerian Pertahanan kerana ia sudah dilengkapi dengan kemudahan kawalan berkaitan keselamatan.
Dia berkata pasukannya menolak lokasi lain kerana menyulitkan orang awam dengan keselamatan presiden.
Yoon berkata dia akan memulakan penggalnya di pejabat baharu. Dia berkata para pegawai Kementerian Pertahanan akan berpindah ke bangunan Ketua Turus Tentera (JCS) di kawasan itu, dan kakitangan JCS akan dipindahkan secara berfasa ke pusat kawalan perang di pinggir Seoul.
Yoon berkata taman awam besar akan dibina dekat pejabat baharu presiden dan orang awam akan dapat melihat ke pejabatnya pada jarak dekat. Dia berkata dia juga merancang untuk menubuhkan pusat media dan akan sering bertemu dengan jurnalis.
Menurut rancangan Yoon, Rumah Biru ketika ini akan dibuka kepada orang awam sebagai sebuah taman semasa hari pelantikannya. Menurutnya, dia akan meminta pendapat awam untuk memilih nama bagi pejabat baharunya.
Pengkritik rancangan Yoon telah menggesanya untuk tidak terburu-buru dengan perpindahan itu, mengatakan banyak tugas lain lagi sangat memerlukan pemerhatian segera, seperti kes COVID, ancaman nuklear Korea Utara dan masalah ekonomi. – AP